Imam Besar Kelantan jawab pihak pertikai masjid jadi PPV - Utusan Malaysia

Imam Besar Kelantan jawab pihak pertikai masjid jadi PPV

NEZALANI Nawi (kiri) menyampaikan replika cek kepada Iman Tua Masjid Sultan Mansor, Mohd. Sidek sambil disaksikan Muhammad Hana Pizi Abdullah di Kota Bharu. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penggunaan kebanyakan masjid di negeri ini sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) menjadi pertikaian orang ramai apabila ada yang membandingkan perkara itu dengan larangan solat berjemaah di masjid.

Segelintir pihak mengemukakan persoalan, kenapa mereka dilarang mengerjakan solat berjemaah sedangkan masjid yang dijadikan sebagai PPV boleh dikunjungi orang ramai yang hadir untuk menerima suntikan vaksin.

Malah ada yang melontarkan teori konspirasi kononnya larangan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda musuh Islam yang tidak mahu melihat umat Islam mengimarahkan rumah Allah SWT.

Menjawab soalan tersebut, Imam Besar Negeri Kelantan, Muhammad Hana Pizi Abdullah berkata, beliau kesal perkara itu disensasikan sehingga timbul pelbagai tohmahan lain kepada pihak berkuasa.

Tegas beliau, suntikan vaksin diadakan di dalam ruang masjid tidak menjadi kesalahan kerana penerima hanya hadir sekali sahaja untuk menerima suntikan vaksin dan keadaan itu berbeza jika dibandingkan dengan solat lima waktu apabila jemaah hadir secara berulang.

“Rakyat perlu faham bahawa vaksin menjadi keperluan yang menjadi keutamaan bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

“Ini adalah usaha kerajaan untuk melindungi rakyat daripada terkena jangkitan Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke majlis sumbangan baik pulih Masjid Sultan Mansor, Kampung Sireh di sini hari ini.

Sumbangan sebanyak RM30,000 itu disampaikan wakil Pertubuhan Kasih Neelofa, Nezalani Nawi dan bertujuan untuk membaik pulih masjid yang rosak akibat terkena serpihan letupan sebuah kereta membawa muatan mercun, bulan lalu.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Kelantan mengumumkan enam masjid, surau dan pondok di negeri ini akan dijadikan PPV sementara untuk kemudahan masyarakat setempat menerima suntikan vaksin masing-masing.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sebelum ini mengeluarkan arahan tegas hanya membenarkan empat kakitangan hadir menunaikan solat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut, Muhammad Hana Pizi berkata, pada pendapat beliau, tidak menjadi masalah sekiranya masjid dijadikan sebagai PPV kerana ia merupakan satu keperluan semasa masyarakat umum ketika ini selain sudah diluluskan oleh Maik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya