Hospital Jasin pertama dunia diiktiraf sijil tertinggi LEED bangunan hijau  - Utusan Malaysia

Hospital Jasin pertama dunia diiktiraf sijil tertinggi LEED bangunan hijau 

DR. DHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hospital Jasin, Melaka  mendapat penarafan tertinggi (Platinum) dalam pensijilan Leadership in Energy and Environmental Design (LEED) yang dikeluarkan oleh U.S. Green Building Council (USGBC).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, lebih membanggakan,  pensijilan bangunan hijau bertaraf Platinum itu adalah dalam kategori Existing Building Operation and  Maintenance Version 4 iaitu yang pertama di dunia bagi bangunan hospital dan yang pertama di Malaysia bagi bangunan kerajaan.

Menurut beliau, kejayaan itu melakar sejarah bagi Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menerajui dunia bagi Fasiliti Hospital Hijau selaras dengan usaha dunia menangani isu perubahan iklim dan kesihatan alam sekitar.

“Anugerah ini juga memberi keyakinan kepada golongan profesional antarabangsa bahawa Kerajaan Malaysia berada pada landasan betul terutama dalam urusan penyenggaraan di bawah KKM. 

Justeru, rakyat tidak perlu bimbang mutu perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adham berkata, pensijilan LEED itu menjadi penanda aras kepada KKM untuk meluaskan pelaksanaan program penarafan bangunan hijau di fasiliti-fasiliti kesihatan KKM yang lain sebagai usaha menyokong komitmen kerajaan di peringkat global dalam mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan mendepani kesan perubahan iklim.

Kata beliau, KKM juga menjadi contoh utama dalam sektor awam dan menjadi peneraju dalam melaksanakan strategi dan inisiatif lestari ke arah pensijilan bangunan hijau di negara ini.

“Kejayaan Hospital Jasin membuktikan usaha kerajaan dalam memastikan fasiliti kesihatan sentiasa berada dalam keadaan terbaik agar penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkesan dapat diberikan kepada rakyat terutamanya dalam situasi menangani pandemik Covid-19.

“Melalui pensijilan ini, hospital-hospital KKM diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam aspek pembangunan mampan dengan mengutamakan pematuhan piawaian dan pelaksanaan amalan hijau bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, sihat dan kondusif,” katanya.

Dalam pada itu, Adham berkata,pelaksanaan amalan hijau dalam pengurusan fasiliti hospital berupayamemberikan penjimatan tenaga yang optimum, mengurangkan kos utiliti dan belanja operasi hospital, menyediakan kualiti udara dalaman yang baik di samping meningkatkan prestasi dan keupayaan keseluruhan bangunan.

Jelas beliau, penggunaan teknologi hijau dan produk mesra alam juga sentiasa diutamakan dan menjadi pilihan dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif lestari di fasiliti kesihatan bagi memacu dan menyokong pertumbuhan hijau di negara ini.

Terdahulu, majlis anugerah oleh USBGC itu diadakan secara maya semalam  dan KKM dipilih untuk menerima anugerah tersebut mewakili Asia Tenggara yang mengiktiraf kepimpinan teladan organisasi dalam bangunan hijau di bawah pensijilan LEED. 

Pengiktirafan itu susulan kejayaan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi yang mencapai penarafan sijil LEED Gold (kedua tertinggi) di bawah kategori Existing Building Operation and Maintenance version 4 pada tahun lalu. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya