KUANTAN: Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun media sosial Twitter menggunakan nama @imnsfeaz yang didapati menghina institusi diraja.
Timbalan Presidennya, Nor Aliff Yaakob berkata, pelaku berkenaan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama kaum kerabat diraja dalam ciapannya.
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu mengguris perasaan terutama rakyat Pahang.
“Laporan ini dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti pelaku dan membuat tangkapan kerana telah mengeluarkan ayat berunsur hasutan dan kecaman terhadap Al-Sultan Abdullah, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hasannal Ibrahim Alam Shah.
“Kita harap pihak yang terlibat dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Hasutan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Laporan polis dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bersama tiga lagi NGO iaitu Majlis Belia Daerah Kuantan, Young Malaysia Movement dan Gerakan Belia 4b Malaysia Negeri Pahang.
Sementara itu, Nor Aliff berkata, mereka mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk penghinaan khususnya yang dilemparkan secara langsung kepada institusi diraja.
Katanya, beliau telah menerima satu kiriman gambar melalui aplikasi WhatsApp yang jelas menghina dengan menggunakan perkataan biadap dan kurang ajar terhadap Seri Paduka.
“Dalam ciapannya, individu terbabit mengeluarkan kenyataan sangat biadap.
“Saya percaya bahawa kenyataan pelaku yang menggunakan akaun itu adalah bertujuan menghina dan bertujuan menghasut masyarakat awam agar membenci kepada institusi diraja.
“Selain itu, turut menghasut masyarakat tidak mempercayai institusi diraja sekali gus merobohkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang menjadi asas kepada penubuhan Persekutuan Malaysia,” katanya.