Golongan agama perlu diberi vaksin lebih awal - Utusan Malaysia

Golongan agama perlu diberi vaksin lebih awal

AL-SYEIKH ABDUL HALIM ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mencadangkan agar golongan agamawan diberikan peluang untuk mendapatkan vaksin lebih awal.

Yang Dipertuanya, Datuk Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, golongan itu juga boleh membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk mengambil vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Kita boleh membantu kerajaan dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Kita berharap golongan agamawan seperti imam dan pentadbir masjid dapat diberikan peluang awal untuk mendapatkan vaksin.

“Pada masa sama, tindakan total lockdown adalah wajar untuk memastikan tahap kesihatan rakyat terus diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan total lockdown bertepatan dengan prinsip Maqasid Syariah dari aspek hifz al-nafs, iaitu menjaga jiwa manusia.

“Kita tahu Covid-19 adalah ancaman yang boleh membawa maut sekiranya tidak dikawal atau disekat pencegahannya.

“Walaupun keputusan ini akan memberi kesan kepada rakyat terutama mereka yang bekerja sendiri atau bekerja dengan pihak swasta bergaji hari, namun kerajaan mempunyai perancangan bagi membantu mereka yang terkesan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pihaknya menyelar tindakan segelintir rakyat yang menggunakan media sosial untuk mengutuk pemimpin negara termasuk kes terbaharu yang melibatkan individu mengeluarkan kata-kata tidak sopan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“PUM menyeru pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan sebegini bagi memberi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mempersendakan Yang di-Pertuan Agong.

“Tindakan tegas juga perlu diambil kepada mana-mana individu yang mempermainkan atau mempersendakan setiap keputusan yang diambil oleh pemimpin negara dalam menangani Covid-19 ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya