Golden Prosperous harap kebenaran melombong di Tasik Chini - Utusan Malaysia

Golden Prosperous harap kebenaran melombong di Tasik Chini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebuah syarikat perlombongan, Golden Prosperous Resources Sdn. Bhd. berharap kerajaan negeri dapat membenarkan syarikat itu melaksanakan aktiviti melombong di Tasik Chini, Pekan,  dekat sini.

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, sejak pajakan melombong (ML) diluluskan pada 2018, Golden Prosperous Resources belum pernah beroperasi disebabkan syarat yang sering berubah dan pihaknya perlu menepati kesemua syarat dikenakan.

“Pihak kami memohon ML pada 2014 dan mendapat kelulusan pada 2018. Didapati bahawa terdapat lombong haram telah beroperasi di tapak ini dalam tempoh kelulusan pihak kami dan telah mewujudkan tiga kolam di tapak lombong kami.

“Sekiranya pihak kerajaan tidak membenarkan kami untuk meneruskan lombong ini, siapa yang akan bertanggungjawab untuk memulihkan keadaan tapak yang ditinggalkan oleh kegiatan pelombong haram yang melibatkan kos pemulihan yang tinggi?,” katanya kenyataan itu di sini hari ini. 

Menurut kenyataan itu, jarak kelulusan tapak ML syarikat berkenaan dari Tasik Chini adalah dalam lingkungan tiga kilometer dan jarak melalui jalan adalah lebih kurang lapan kilometer.

Jadi, kata kenyataan itu, air tidak mungkin akan mengalir ke Tasik Chini dan pihak konsultan yang dilantik telah menjalankan kajian bagi perkara tersebut dan ia telah dijelaskan dengan teliti dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

“Sudah hampir tiga tahun sejak kelulusan ML diperolehi sehingga sekarang, namun pihak kami masih tidak boleh mula beroperasi atas sebab syarat-syarat yang sering berubah dan pihak lombong perlu menepati kesemua syarat yang dikenakan.

“Sebelum 2015, tiada dikenakan EIA bagi kawasan lombong yang kurang daripada 100 hektar. Namun demikian syarat ini telah dikenakan apabila pihak kami mendapat kelulusan ML pada 2018.

“Ini secara langsung telah meningkatkan kos yang perlu ditanggung oleh pihak kami iaitu hampir RM500,000 bagi pelantikan konsultan dan keperluan penyediaan laporan Terma Rujukan (TOR) dan EIA Jadual Kedua bagi kelulusan ML tersebut.

“Pihak kami juga mematuhi syarat yang memerlukan pengiklanan bagi pemberitahuan pameran laporan EIA di dua akhbar selama tiga hari. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 turut melambatkan proses penyediaan laporan EIA selepas kelulusan TOR diperolehi dan ini telah mengakibatkan kerugian kepada pihak kami,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, syarikat berkenaan telah memberikan akujanji untuk mematuhi segala syarat dan undang-undang yang terlibat dalam menjayakan kerja-kerja industri perlombongan tersebut agar meminimakan kesan terhadap alam sekitar. 

Kata kenyataan itu, Golden Prosperous Resources akur bahawa pemeliharaan alam sekitar adalah penting untuk negara dan generasi akan datang.

“Kami menafikan tuduhan bahawa sisa perlombongan akan dibuang ke dalam tasik kerana perbuatan itu akan menyebabkan pihak kami menanggung kerugian yang besar kerana jarak industri perlombongan tersebut dengan Tasik Chini adalah sekitar tiga kilometer yang memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Sisa perlombongan akan dibuang ke dalam kawasan industri perlombongan tersebut dengan pematuhan syarat ketat Jabatan Alam Sekitar (JAS). Terdapat pengurusan sisa berjadual dalam kerja-kerja lombong yang digunakan untuk mengawal keberkesanan kos bagi projek tersebut,” kata kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, industri perlombongan tersebut akan memberi kesan yang positif terhadap sektor ekonomi tanpa menjejaskan alam sekitar. 

“Industri perlombongan ini akan memberikan pendapatan kepada kerajaan dan negeri dan mewujudkan peluang pekerjaan baru sekurang-kurangnya 100 orang pekerja bagi keperluan tenaga kerja teknikal, operator, pemandu lori dan membangunkan pekerjaan di pelabuhan.

“Pihak lombong berharap pihak kerajaan dan pihak berkuasa yang berkenaan dapat mempertimbangkan dan membenarkan supaya lombong industri ini dapat diteruskan memandangkan pihak kerajaan telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan industri lombong dan kerja-kerja pemulihan serta pemantauan oleh pihak penguatkuasaan yang berkenaan.

“Syarikat ini juga berharap agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan dan membantu pihak lombong dalam perlombongan mineral yang berpotensi bagi memenuhi permintaan pasaran sedia ada yang juga dapat menyumbang dalam pertumbuhan sektor ekonomi dan kadar pertukaran asing negara.

“Lombong industri patut menjaga alam sekeliling dan dalam masa yang sama memacu pembangunan ekonomi negara bagi memelihara kepentingan dan keseimbangan rantaian ekologi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya