Durian ‘harga rakyat’ RM10 penuh beg plastik - Utusan Malaysia

Durian ‘harga rakyat’ RM10 penuh beg plastik

PELANGGAN memilih durian kampung yang dijual murah di Kampung Semat Jal, Tumpat, Kelantan. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Jika durian di tempat lain menjadi buah ‘kayangan’ kerana harganya yang melonjak tinggi, durian ditawarkan seorang pemborong di gerainya di Kampung Semat Jal, di sini pula cuma RM10 penuh satu beg plastik.

Shahmi Azani Mohd. Tanazi, 27, menawarkan ‘harga rakyat’ itu kerana simpati melihat ramai penggemar raja buah terkesan dengan sekatan pergerakan penuh sehingga tidak lagi mampu membeli durian ketika ini.

Menurut Shahmi Azani, lelongan durian pada harga istimewa tersebut ditawarkan kepada semua pelanggan yang berkunjung ke gerainya selama lima hari berturut-turut, mulai Selasa sehingga Sabtu ini.

“Saya menerima aduan ada keluarga golongan susah, anak-anak mereka teringin makan durian namun tidak kesampaian kerana ibu bapa tidak mampu beli buah itu.

“Apabila saya buat jualan harga murah, ada yang sanggup menunggu dan beratur untuk membeli durian demi anak-anak. Jadi saya harap usaha saya ini mampu beri kegembiraan kepada semua orang,” katanya di sini..

Shahmi Azani yang merupakan pemborong durian kampung berkata, dia menjual kira-kira 12 tan durian setiap hari, mulai pukul 8 pagi hingga 7 petang namun kebelakangan ini bekalannya habis seawal pukul 2 petang.

“Durian saya jual ada pelbagai jenis seperti kucing tidur, ganja, IOI dan kunyit. Jika bukan promosi harga murah ini, saya masih jual durian dengan harga berpatutan iaitu RM3 hingga RM35 sekilogram mengikut gred.

“Semua bekalan durian ini diambil dari pelbagai lokasi termasuk luar Kelantan seperti Tangkak, Johor; Jelebu, Negeri Sembilan dan Banting, Selangor,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini semalam.

Shahmi Azani bersama isteri, Shaidatul Fatini Shamsudin, 29, menjalankan perniagaan memborong dan menjual durian sejak lebih 11 tahun lalu.

 

“Orang ramai yang teringin makan durian tetapi tidak mampu, singgahlah ke gerai kami di Kampung Semat Jal. Insya Allah, kami usaha sebaik mungkin kekalkan harga berpatutan ini supaya kita sama-sama dapat kongsi rezeki,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN