SEREMBAN: Kerajaan negeri bersedia untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan seberapa segera, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertuan Agong.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Yang Dipertua DUN, Datuk Zulkefly Mohamad Omar bagi merancang pelaksanaan sidang DUN.
“Seterusnya saya akan mempersembahkan hasil perbincangan tersebut kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk mendapatkan perkenan baginda supaya sidang DUN dapat diadakan seberapa segera.
“Sebarang tarikh sidang yang akan diangkat untuk dipersembahkan bagi perkenan Tuanku Muhriz akan mengambil kira tempoh notis kepada ahli-ahli DUN iaitu sekurang-kurangnya 28 hari notis selaras dengan Peraturan IV, Perintah 5, Peraturan dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Tahun 1960,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aminuddin menambah, sekiranya mustahak dan perlu, notis yang seberapa segera boleh dikeluarkan tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Tarikh dan tempoh sidang juga akan mengambil kira tarikh prorog dan hari istiadat pembukaan Penggal Persidangan, tertakluk kepada perkenan baginda,” katanya.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Zainal Syed Ahmad menerusi kenyataan yang dikeluarkan dengan perkenan Raja-Raja Melayu memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan agar Parlimen segera bersidang.
Di peringkat negeri pula, raja-raja pemerintah turut berpendirian agar DUN dibolehkan bersidang secepat mungkin.
Aminuddin berkata, mewakili kerajaan negeri, beliau menjunjung kasih dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang disokong oleh Raja-Raja Melayu.
“(Ia) melambangkan keprihatinan yang tinggi Seri Paduka terhadap kesihatan dan kehidupan rakyat di negara ini di samping menegaskan fungsi Parlimen sebagai platform penting bagi wakil-wakil rakyat berbincang dan berbahas mengenai pelbagai isu khususnya dalam usaha mendepani pandemik Covid-19 dan membantu rakyat yang terkesan akibat krisis ini,” katanya.
DUN Negeri Sembilan kali terakhir bersidang pada 3 Disember 2020, berdasarkan Peraturan IV Perintah 2, Peraturan-peraturan Tetap dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Sembilan Tahun 1960, tarikh persidangan selanjutnya hendaklah diadakan tidak lebih enam enam bulan dari tarikh 3 Disember 2020 iaitu jatuh pada 2 Jun 2021.
Bagaimanapun tempoh enam bulan itu terhenti melalui proklamasi darurat dan tempoh enam bulan akan berjalan semula sejurus selepas 1 Ogos 2021 (sekiranya darurat tidak disambung lagi).