PETALING JAYA: Kegiatan sepasang kekasih yang dipercayai mengedar pelbagai dadah bernilai RM334,533 di sekitar Lembah Klang, terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan di residensi Jalan Metro Pudu, dekat sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 3.50 petang itu, kedua-dua suspek berusia 19 tahun dan 35 tahun ditahan ketika berada di dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Vios di tempat letak kereta di residensi berkenaan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Superintenden Mohd. Shokri Abdullah berkata, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan, pelbagai dadah disyaki MDMA seberat 461 gram dan wang tunai RM650.
Kata beliau, siasatan selanjutnya kemudiannya menyerbu sebuah residensi Taman Mastiara dekat sini.
“Pelbagai dadah terdiri ketamin seberat 5.19 Kilogram (Kg) selain 328.06 gram serbuk MDMA dan cecair MDMA sebayak 11.25 liter ditemukan hasil serbuan itu.
“Turut dirampas adalah 52 biji pil ekstasi dan 34 biji Erimin 5. Siasatan awal mendapati rumah tersebut disewa selama empat bulan oleh suspek dengan bayaran sewa RM1,800 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah Ketamin dan tidak mempunyai rekod lampau.
“Suspek ditahan reman di bawah seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula hari ini hingga 23 Jun ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” jelasnya.
Tambah beliau, menerusi tangkapan ini, polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan yang dikesan aktif selama tiga bulan di sekitar Lembah Klang.
“Keseluruhan dadah yang di rampas boleh dibekalkan kepada 6,124 orang pengguna dadah,” katanya. – UTUSAN ONLINE