DUNGUN: Taktik sekumpulan pekerja menjadikan ladang kelapa sawit di Ketengah Jaya, di sini sebagai sarang penagihan dadah membawa padah apabila kesemuanya ditahan, pagi ini.
Dalam serbuan bermula pukul 4 pagi itu, mereka yang ditahan berusia antara 28 tahun hingga 51 tahun termasuk seorang tokan dadah.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, pihaknya turut merampas sejumlah dadah jenis syabu dan pil kuda.
“Hasil intipan, kita percaya sarang penagihan itu aktif sejak awal tahun ini,” katanya ketika dihubungi.
Baharudin berkata, ujian saringan air kencing mendapati, 11 daripada 12 lelaki berkenaan positif dadah jenis syabu dan methamphetamine.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – UTUSAN ONLINE










