BPMB terbit Sukuk Wakalah RM1.25 bilion - Utusan Malaysia

BPMB terbit Sukuk Wakalah RM1.25 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) berjaya menetapkan harga dengan persetujuan pembeli dan penjual bagi penerbitan Sukuk Wakalah bernilai RM1.25 bilion, selepas mendapat sambutan positif daripada para pelabur.

Kumpulan itu telah melepasi jumlah terbitan sasaran awalnya sebanyak RM750 juta dan mencatatkan senarai tempahan akhir RM3.34 bilion atau nisbah bidaan kepada terbitan (BTC) 4.45 kali untuk prapeningkatan dan 2.67 kali untuk pascapeningkatan.

Tindak balas positif daripada pelbagai pelabur termasuk institusi kewangan, pengurus aset, dana pencen dan syarikat insurans mencerminkan sentimen positif pasaran umum ke arah kredit BPMB.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Arshad Mohamed Ismail berkata, bank itu akan terus bekerja keras dalam memacu pertumbuhan yang inklusif dan berterusan menyokong agenda pembangunan negara.

“BPMB berbesar hati atas kepercayaan pasaran terhadap asas dan hala tuju strategi bank yang kukuh berikutan kejayaan penerbitan kedua di bawah program Sukuk Wakalah ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ambank, CIMB, Maybank dan RHB bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama dalam tawaran ini sementara CIMB Islamic dan Maybank Islamic bertindak sebagai Penasihat Syariah untuk transaksi berkenaan.

Sejajar dengan hasrat kumpulan untuk memenuhi keperluan pembangunan negara, BPMB turut melaksanakan kerangka Measuring Impact on National Development (MIND) dan kini tertumpu pada kedua-dua petunjuk impak kewangan dan bukan kewangan.

Menerusi MIND, projek BPMB dinilai berdasarkan kesan kewangan dan juga sosial atau persekitarannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya