IPOH: Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar sidang Parlimen diadakan segera memperlihatkan keprihatinan Seri Paduka terhadap situasi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, pandangan dizahirkan Seri Paduka itu akan membuka jalan kepada usaha secara kolektif ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mencari jalan terbaik dalam menangani krisis kesihatan sekali gus memulihkan ekonomi.
“Bagi pihak BN Perak, kami menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong untuk Dewan Rakyat bersidang secepat mungkin bagi membolehkan wakil-wakil rakyat berbincang dan berbahas bagi menangani Covid-19.
“Penzahiran Yang di-Pertuan Agong itu mencerminkan keprihatinan Seri Paduka terhadap situasi buruk yang dihadapi segenap lapisan rakyat,” katanya dalam kenyataannya di sini semalam.
Saarani berkata, titah Yang di-Pertuan Agong itu adalah bersandarkan realiti bahawa Parlimen perlu berfungsi secara wajar bagi memastikan setiap keputusan yang diambil kerajaan atas prinsip semak dan imbang.
Beliau berkata, dalam menangani krisis Covid-19, hak dan pandangan rakyat adalah perkara utama yang perlu diambil kira dan sama sekali tidak diabaikan.
“BN Perak menyeru semua pihak termasuk ahli-ahli Dewan Rakyat agar menghormati dan menjunjung titah Seri Paduka tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan yang dilihat mencabar atau memperkecilkan institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.