PERNAH menjadi satu pertikaian, siapa sebenarnya yang layak diangkat sebagai seorang Ratu atau Raja untuk sesebuah genre muzik sedangkan, hakikatnya ia terlalu subjektif untuk diperdebatkan.
Seperti mana yang berlaku pada pemilik nama Noraniza Idris ini, gelaran Ratu Etnik Kreatif dan Irama Malaysia sebenarnya tidak pernah terfikir dek akalnya lantaran ia bukanlah sasaran asal dia memperjuangkan genre muzik itu.
Pun begitu, mahu tidak mahu, sedar atau tidak, Noraniza terus bertahan membawa ‘mandat’ itu, menempa laluan penuh liku selama lebih empat dekad ini.
“Saya masih ingat lagi, setelah tiga album Irama Malaysia dihasilkan, pengacara, Aidil Abdul Ghafar menyebut gelaran itu semasa membuat persembahan untuk siaran TV3. Itulah pertama kali saya dengar orang panggil saya Ratu Etnik Kreatif.
“Dari situ saya tahu, gelanggang saya bukan sekadar menyanyi. Ia bukan sekadar gelaran tetapi merupakan satu tanggungjawab. Mula-mula berat sebab banyak perkara yang saya tak tahu sampaikan pernah fobia untuk ditemubual oleh mana-mana wartawan,”katanya.
Anak kelahiran Kluang, Johor ini kemudian menyambung, gara-gara takut untuk ditemu bual dek jangkaan tinggi semua pihak padanya selaku seorang ‘Ratu’, dia telah meminta soalan dahulu daripada setiap wartawan sebelum ditemubual.
“Masa itu saya tak banyak ilmu, tak bercampur dengan budayawan dan hanya tahu apa yang saya tahu sahaja. Jadi, saya beli surat khabar, ambil semua keratan tentang irama Melayu, tentang jati diri, baca semuanya dan buat soalan dan jawapan sendiri.
“Jadi, bila orang tanya, saya sudah tahu apa nak jawab. Soalan dan jawapan yang dibuat itu juga saya tulis tahu! Bukan pakai komputer atau apa sebab saya percaya cara itu lebih mudah ingat.
“Masih ingat lagi, penulis Ku Seman Ku Hussein tegur kesalahan saya menggunapakai nama irama tradisi. Dia kata jangan, ayat yang betul adalah irama Melayu. Kemudian, saya tukar sebutan itu jadi irama Malaysia sebab ia lebih menyeluruh,”katanya.

Menurut Noraniza, membawa gelaran ‘Ratu’ itu juga membuatkan dia semakin gemar membaca kerana yakin, tanpa ilmu mana mungkin perjuangan ini dapat diteruskan dalam aliran yang tepat.
Daripada seorang yang butir bicaranya sepatah-sepatah, Noraniza rancak menyusun kata mengenai seni muzik yang dibawa sekali gus menyaksikan dirinya mampu berada di tahap sekarang.
“Diam tak diam, sudah empat fasa berbeza yang sudah saya lalui sebagai seorang anak seni. Fasa pertama sebagai penyanyi baru yang cuma mengikut sahaja telunjuk orang. Fasa kedua mula pandai buat acuan sendiri manakala fasa ketiga saya duduk di ‘bawah’ memerhati.
“Tiba di fasa keempat ini, saya benar-benar berharap ia adalah yang terakhir. Saya nak keluar, membimbing dan memberi semula kepada komuniti seperti apa yang dibuat sebelum takdir membawa saya masuk ke panggung Gegar Vaganza (GV) sebelum ini.
“Sungguh tak mungkin rasanya untuk melihat diri ini masih menyanyi di pentas di kala usia menjengah angka 60,”katanya.
Tak pernah rancang
Dalam pada itu, berbicara mengenai karya-karya lagu, Noraniza mengaku dia tidak pernah benar-benar merancang penghasilan lagu baharu sejak memilih mengabdikan diri, mencurah khidmat kepada masyarakat menerusi program keseniannya.
Kata penyanyi Dikir Puteri ini, dia sudah menerjah ke satu peringkat usia di mana menghasilkan lagu bukan lagi perkara utama buatnya kerana misi dan visinya sudah beralih arah.
“Kalau ada yang perasan, lagu Intan Payung duet bersama penyanyi Bunga, itu adalah lagu yang saya sempat rakam sehari sebelum saya masuk GV. Hanya selepas tamat program tersebut barulah saya ada masa untuk promosikan Intan Payung bersama Bunga.

“Selepas itu, kebetulan nak dekat raya tempoh hari, saya keluarkan single raya berkonsep ketuhanan berjudul Cinta Lebaran di bawah Luncai Emas.
“Lagu itu saya nyanyikan bersama Ihbab Ismail dan Azmir Ariff dan ia sebenarnya pernah dirakamkan buat pertama kali pada tahun 2009 bersama kumpulan Akasia.
“Setelah 11 tahun, saya buat keputusan untuk rakam semula lagu ini sebab sayang jika ia tidak dimanfaatkan. Saya juga percaya kalau buat lagu raya baru pun, mood dan sentuhannya tak sama macam lagu itu yang ada elemen rakaman langsung,”katanya.
Bagaimanapun, Noraniza memberi gambaran dia kemungkinan akan muncul dengan single baru irama Malaysia istimewa untuk mengubati kerinduan peminat yang sudah lama menunggu khabar gembira daripadanya.
Hakikat anak seni
Mengenang banyak perkara yang sudah dilalui termasuk kontroversi sepanjang meniti karier, Noraniza sedar, jiwa muda adakala sering membuatkan seseorang itu mudah terjerumus melakukan kekhilafan.
Malah, ketika menyertai pertandingan GV juga baginya adalah satu pengalaman yang berharga dengan tiada tanda penyesalan walau sekelumit pun.
“Setiap apa yang pernah dilalui sebagai anak seni, saya kumpul sebagai satu rangkuman pengalaman dan ilmu pada masa yang sama. Semua itu adalah satu proses kehidupan dan inilah yang saya akan kongsikan dengan pelajar-pelajar di bawah program modal insan pembangunan budaya dan belia Malay World Cultural Paradise.
“Saya tak nak budak-budak ini kena buli. Ramai yang nak masuk industri seni untuk menikmati glamor. Kena faham, yang terlihat gah di hadapan, semuanya pernah lalui keperitan. Orang nampak yang indah sahaja sebab biasanya orang seni ini, segala keperitan itu kita tutup.
“Orang seni ini memang tak lari daripada sikap hipokrit itu kerana kita ini suka sorok rasa sedih dan kecewa. Kita tak nak orang tengok sisi itu, sebab itulah ramai yang tak tahu peritnya laluan untuk kita capai sebuah pandangan yang orang kata glamor itu tadi.
“Macam saya, bukan senang nak jadi penyanyi irama Malaysia ini, jauh perjalanan yang saya tempuh,”katanya.

Selain itu, kata Noraniza, biasanya, apabila memilih dunia seni sebagai laluan kerjaya, usah terkejut jika menyedari hakikat sebenar bahawa anda lebih banyak merasa sunyi daripada segala hiruk-pikuk dan bingitnya pentas hiburan penuh glamor itu.
Luah penyanyi ini, semua itu pernah dirasai dan dialami sendiri maka untuk apa dia berbohong atas tujuan untuk menakut-nakutkan orang.
“Sunyi, keseorangan dan kalau berkawan pula ada yang menggigit, menipu, itu semua resmi hidup sebagai orang seni. Kesedihan yang kita tanggung orang tak nampak sebab ditutup dengan gemerlapan glamor.
“Contohnya, dulu, saya suka sangat tengok arwah biduanita Datuk Sharifah Aini. Tengok dia seronok sebagai penyanyi glamor sampai berangan-angan nak jadi macam dia. Tapi di sebalik angan-angan itu, kita tahu tak apa yang dia lalui?
“Inilah hakikat anak seni. Terlalu banyak episod-episod sedih yang menduga hidup dalam usaha kita nak sampai ke destinasi bernama kejayaan,”katanya.










