Bekas tunang pelakon mengaku tak bersalah terima deposit haram - Utusan Malaysia

Bekas tunang pelakon mengaku tak bersalah terima deposit haram

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas tunang kepada seorang pelakon drama bersiri terkenal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima deposit haram bernilai RM132,900, empat tahun lalu.

Tertuduh, Razrul Anwar Rosli, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Herlina Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, Razrul yang juga timbalan ketua bahagian sebuah parti di Johor Bahru didakwa bersama dua beradik, Muhammad Faizal Mohd. Zazali, 32, dan Mohamad Fauzi, 29, yang telah dituduh sebelum ini menerima deposit tersebut daripada seorang lelaki berusia 59 tahun tanpa suatu lesen yang sah.

Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh yang merupakan ahli perniagaan di Jalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang di antara Julai hingga September 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum dibawa Seksyen 137 (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Aisamuddin Abdul Rahman menawarkan jaminan RM70,000 susulan kegagalan tertuduh hadir untuk prosiding kali pertama sebelum ini dan terpaksa mengesannya sebelum kehadirannya di mahkamah semalam.

“Pendakwaan turut meminta supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran dengan sebutan semula kes dilakukan bersama dua tertuduh lain yang telah ditetapkan pada 25 Ogos depan,” katanya.

Peguam tertuduh, Nur Ermashawani Rusli memohon ikat jamin dikurangkan susulan anak guamnya yang masih bujang menyara ibunya berusia 61 tahun.

“Perniagaannya juga terkesan dan mengakui kesilapan tidak hadir sebutan sebelum ini susulan menetap di Johor Bahru dan memberikan akur janji untuk hadir prosiding selepas ini,” katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya