JASIN: Seorang bekas banduan diberkas semula selepas dipercayai terlibat dalam kejadian pecah tabung di Masjid Ar Rasyid Kampung Serkam Darat di sini, Rabu lalu.
Suspek berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6 petang oleh sepasukan polis di Sebatu, di sini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mispani Hamdan berkata, tangkapan dibuat susulan laporan oleh Bendahari masjid tersebut pada pukul 9.25 pagi yang mendakwa, dua tabung termasuk di ruang solat wanita dicuri.
Katanya, hasil semakan tiga kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, suspek seorang lelaki memakai baju lengan panjang berwarna kuning, berseluar denim hitam dan mempunyai beg sandang.
“Menerusi rakaman CCTV, suspek dilihat masuk ke dalam masjid pada pukul 5.21 pagi dengan membawa tukul besi sebelum bertindak memecahkan dua tabung dan melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM200.
“Berdasarkan maklumat tersebut, pasukan polis mengesan suspek dan menahannya kira-kira pukul 6 petang, hari sama laporan dibuat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Mispani berkata, semakan lanjut pihak polis mendapati, suspek adalah seorang bekas banduan dan baru dibebaskan dari penjara lima bulan lalu kerana kesalahan dadah.
“Suspek juga mempunyai tujuh rekod lampau, tiga membabitkan kesalahan dadah manakala empat lagi atas kesalahan mencuri dan pecah premis.
“Dia juga sebelum ini pernah dijatuhkan hukuman melibatkan tiga pertuduhan dan baru lima bulan dibebas dari penjara bersabit Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Tambahnya, saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut positif methamphetamine dan lelaki itu direman empat hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










