SEREMBAN: Seorang bayi perempuan berusia dua hari dan masih hidup ditemukan ditinggalkan dalam kotak di sebuah pondok menunggu bas berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Sri Sendayan, di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan bayi tersebut daripada orang awam pada pukul 11.58 pagi namun setakat ini bangsa bayi berkenaan belum dikenal pasti.
“Bayi perempuan tersebut dalam keadaan sihat dan dianggarkan baru berusia dua hari.
“Bayi itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini tampil memberi maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Adi Khusaini Saripudin di talian 012-7778789.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Felda Sendayan, Mejar Mohd. Yasin Abd. Jamil, 63, berkata, difahamkan, bayi berkenaan ditemukan seorang wanita berusia 50-an yang kebetulan sedang menunggu suaminya di pondok bas tersebut.
“Sebelum kejadian, wanita itu bersama suaminya menaiki motosikal dalam perjalanan menuju ke klinik.
“Bagaimanapun, wanita itu tertinggal topi keledar dan menunggu di perhentian bas tersebut sementara suaminya mengambil topi keledar di rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Mohd. Yasin, ketika duduk di perhentian bas itu wanita tersebut ternampak sebuah kotak yang berada di bahagian bawah seperti sedang bergerak-gerak.
“Apabila menghampiri kotak tersebut, wanita itu terkejut mendapati ada seorang bayi perempuan yang masih hidup,” katanya lagi.
Tambahnya, wanita itu kemudian memaklumkan penemuan bayi tersebut kepada seorang wanita pekerja pembersihan di sekolah berkenaan. – UTUSAN ONLINE










