Akibat cinta ditolak, warga Myanmar cuba bunuh rakan - Utusan Malaysia

Akibat cinta ditolak, warga Myanmar cuba bunuh rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gara-gara cinta ditolak, seorang lelaki Myanmar bertindak menyerang rakan senegaranya dalam kejadian di hadapan sebuah kedai di Jalan Wangsa 3/5 Taman Wangsa Permai Desa Jaya, Gombak di sini.

Insiden berlaku kira-kira pukul 6 petang semalam apabila mangsa yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berusia 35 tahun itu diserang dengan pisau di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Mohamed Zainal Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 6.10 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati motif kejadian berpunca daripada perasaan cemburu kerana suspek berusia lingkungan 40-an itu menaruh perasaan cinta kepada mangsa namun mangsa tidak pernah menerimanya.

“Mangsa sebelum ini pernah diganggu oleh suspek beberapa kali sebelum kejadian.

“Ini menyebabkan suspek bertindak menyerangnya sehinggakan mengalami luka kelar pada sebelah kanan leher, luka kelar pada sebelah kiri dahi dan luka kelar pada tangan kanan bahagian lengan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Zainal berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian dan suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Nur Azrul Amirul Mustafa di talian 03- 61262222 atau 011-1230 0778 bagi membantu siasatan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN