LUMUT: Lima nelayan Indonesia mengharungi pengalaman menakutkan terapung selama tiga hari di laut selepas bot dinaiki mereka karam akibat cuaca buruk di perairan Selat Melaka.
Kelima-lima mereka kemudian hanyut sehingga memasuki perairan Malaysia sebelum diselamatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kira-kira pukul 2 petang semalam.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut, dalam kenyataannya berkata, kelima-lima mereka diberi bantuan kemanusiaan oleh Stesen Luar Pantai TLDM di Pulau Jarak, dikenali sebagai Stesen Jarak TLDM yang terletak kira-kira 35 batu nautika barat daya Pulau Pangkor.
“Kelima-lima awak-awak tersebut yang dipercayai terapung di laut selama tiga hari terlebih dahulu diselamatkan bot nelayan tempatan, sebelum dipindahkan ke Stesen Jarak TLDM.
“Semua mangsa berusia antara 25 hingga 30 tahun yang dalam keadaan lemah seterusnya diberi bantuan makanan dan minuman di Stesen Jarak TLDM,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, mereka kemudian dipindahkan ke Kapal Diraja (KD) Mahamiru yang sedang melaksanakan Operasi Benteng Laut dan juga Operasi Patkor Malindo sebelum diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), di perairan Pulau Pangkor.
“Semua mangsa akan diserahkan kepada pihak Kedutaan Indonesia untuk urusan dokumentasi selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, dalam melaksanakan tugasan di perairan negara, TLDM bersama-sama Maritim Malaysia akan sentiasa mengutamakan keselamatan serta kesejahteraan pengguna maritim yang lain.