KUALA LANGAT : Seramai 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) kempunan apabila bukan sahaja tidak sempat mencari pekerjaan di negara ini malah ada dalam kalangan mereka tidak sempat pulang ke negara asal selepas ditahan pasukan gerakan am (PGA) Batalion 4, semalam.
Turut ditahan adalah tiga lelaki tempatan berumur antara 31 hingga 59 tahun di Jalan Kelanang, di sini yang bertindak selaku tekong darat dan berperanan sebagai transporter untuk membawa PATI yang baru tiba keluar daripada lokasi mendarat.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Rizal Mohamed dalam kenyataan akhbarnya hari ini memaklumkan, kesemua PATI berusia antara 26 hingga 51 tahun itu ditahan dalam dua siri Op Benteng Covid berasingan pagi semalam.
Katanya, dalam operasi pertama, pihaknya telah menahan tiga buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan bersama tiga lelaki tempatan di Jalan Kelanang, Banting pada pukul 8.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan di sekitar pesisir pantai telah berjaya mengesan dan menahan sembilan lelaki dan 18 wanita warga Indonesia berumur antara 26 hingga 51 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Mereka dipercayai baru memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot.
“Hasil siasatan juga mendapati tiga lelaki tempatan yang ditahan dipercayai tekong darat dan berperanan sebagai transposter untuk membawa PATI keluar daripada lokasi pendaratan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










