ALOR SETAR: Seramai 13 orang jemaah masjid dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang kerana menunaikan solat Jumaat di Masjid Seberang Kota, Kuala Kedah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, jemaah yang dikenakan tindakan kompaun itu merupakan penduduk tempatan yang berusia antara 18 hingga 82 tahun.
Menurutnya, mereka merupakan sebahagian daripada seramai 34 jemaah yang menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut.
Katanya, beliau bersama sepasukan pegawai dan kakitangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat pemeriksaan di masjid tersebut kira-kira pukul 2 petang setelah mendapat maklumat daripada orang awam.
“Kami tiba di masjid tersebut ketika khutbah sedang dibacakan. Kami biarkan mereka menunaikan solat terlebih dulu sebelum mengeluarkan kompaun.
“Jemaah lain tidak diambil tindakan atas alasan munasabah terdiri daripada pelajar sekolah, orang kurang upaya (OKU) termasuk seorang yang menghidap penyakit nyanyuk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas selesai mengetuai operasi tersebut di Masjid Seberang Kota, Kuala Kedah.
Kerajaan negeri sebelum ini memaklumkan hanya 13 jemaah melibatkan pegawai dan jawatankuasa kariah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat di semua masjid di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Bagaimanapun beliau memberitahu, kesemua jemaah terbabit mematuhi penjarakan fizikal ketika solat, selain mengenakan pelitup muka.
Selain itu tambahnya, pihak masjid itu juga dikompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Tindakan kompaun terhadap jemaah dan pihak masjid itu diambil mengikut Seksyen 11(3) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” jelasnya.