Apa yang nampak tidak adil, itulah keadilan

Apa yang nampak tidak adil, itulah keadilan

ANAK-ANAK muda mesti kembali mengenal sejarah bangsanya supaya dapat mempertahankan hak di masa akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEWAKTU sambutan Aidilfitri baru-baru ini, anak-anak saudara datang menziarah. Mereka ini adalah penuntut universiti. Ketika berbual secara tiba-tiba mereka bertanya: “Mengapa Pak Long sering bercakap tentang mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu? Bukankah semua rakyat Malaysia, termasuk Cina dan India, patut mendapat layanan yang sama?”

Saya faham keresahan mereka. Anak-anak muda hari ini bergaul rapat dengan pelbagai kaum. Namun, apabila mereka mempertikai asas negara ini, saya gusar, bukan kerana berniat jahat tetapi kerana tidak memahami sejarah bangsa sendiri.

Saya menjawab: “Apa yang nampak tidak adil kepada bukan Melayu, sebenarnya itulah keadilan. Dan apa yang mereka tuntut sebagai keadilan, adalah ketidakadilan kepada orang Melayu.”

Tanah Melayu ini diperintah oleh bangsa Melayu sejak lebih seribu tahun. Dari Kedah Tua hingga Kesultanan Melaka, kita memiliki kerajaan, undang-undang dan sistem sendiri. Ketika Melaka ditawan Portugis, orang Melayu tidak pernah menyerah. Johor dan negeri-negeri Melayu lain bangkit tidak berhenti-henti mempertahankan tanah air.

Kedatangan kaum lain ke Tanah Melayu berlaku kemudian atas dasar ekonomi dan penjajahan. Namun, mereka diterima dengan baik. Apabila negara mencapai kemerdekaan, satu kontrak sosial dimeterai. Orang Melayu bersetuju memberikan kerakyatan kepada kaum lain, dengan syarat kedudukan istimewa Melayu dijamin dalam Perlembagaan.

Hari ini, apabila ada pihak mahu semua hak sama rata atas nama keadilan, kita perlu bertanya: “Adil kepada siapa? Jika hak asal penduduk pribumi dipertikai, itu bukan keadilan, itu penghakisan warisan bangsa.”

Keadilan bukan bermaksud semua mendapat sama rata, tetapi setiap kaum mendapat hak berdasarkan sejarah, peranan dan keperluan mereka. Kedudukan istimewa Melayu bukan kelebihan mutlak tetapi satu bentuk keadilan berasaskan realiti sejarah.

Anak-anak muda mesti kembali mengenal sejarah bangsanya. Hanya dengan itu kita dapat membina negara yang adil, bukan dengan menafikan hak orang lain tetapi dengan memahami asas yang mempersatukan kita sejak merdeka.-UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM
Ahli Majlis Prokamasi Orang Melayu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN