NIBONG TEBAL: Sebanyak 11 kenderaan e-hailing ditahan selepas didapati mengambil penumpang tanpa menggunakan aplikasi itu dalam operasi khas yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di sini hari ini.
Pengarah JPJ negeri, Adenan Md. Isa berkata, penahanan itu dibuat susulan aduan yang diterima daripada pengguna khususnya penerima vaksin serta pesakit yang tamat menjalani tempoh kuarantin di Pusat Kuarantin Rawatan Covid-19 (PKRC) di Jawi di sini.
Selain aduan itu katanya, operasi tersebut juga dibuat susulan dakwaan berlakunya pergaduhan dalam kalangan pemandu e-hailing terbabit di hadapan PKRC tersebut dalam merebut penumpang.
“Siasatan mendapati pemandu e-hailing yang ditahan itu mengambil kesempatan dengan mengenakan tambang yang tidak berpatutan terhadap penumpang mereka selain tidak menggunakan aplikasi yang sepatutnya.
“Mereka juga dipercayai memfokuskan penumpang warga asing seperti dari Indonesia dan Bangladesh selain menyasarkan penumpang yang tidak dijemput untuk pulang sebaik sahaja keluar dari PKRC,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati ada pemandu e-hailing itu mengenakan tambang lebih tinggi daripada tambang yang tertera pada aplikasi penumpang.
““Sebagai contoh, pemandu e-hailing ini akan ‘on’ (menghidupkan) aplikasi e-hailing, namun tidak menggunakannya.
“Jadi, jika dalam aplikasi telah menetapkan kadar tambang untuk satu jarak perjalanan adalah RM52, pemandu e-hailing ini akan mengenakan bayaran sebanyak RM72 yang jauh lebih mahal daripada tambang asal,” jelasnya.
Tambah Adenan, pihaknya akan sentiasa menjalankan pemantauan terhadap penggunaan kenderaan e-hailing ini selain menasihatkan semua pemandu tidak mengambil kesempatan mengenakan tambang sesuka hati ketika ramai yang masih terhimpit semasa pandemik Covid-19 ini.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(5)(d) (Akta Pengangkutan Awam Darat APAD 2010) yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM200,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.