KULIM: Polis menahan 11 individu dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap, Geng 35 setelah salah seorang daripada mereka memuat naik video yang memaparkan gambar-gambar sambutan Hari Bapa dalam aplikasi Tik Tok di sini, semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, menerusi video berdurasi 44 saat itu, didapati seramai 15 individu berkumpul dalam sebuah rumah tanpa penjarakan sosial dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Katanya, tangkapan itu melibatkan sembilan lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 61 tahun.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku di salah sebuah rumah suspek yang meraikan sambutan Hari Bapa. Mereka yang ditahan adalah kenalan kepada tuan rumah tersebut.
“Mereka yang ditahan dipercayai terlibat dengan kegiatan kongsi gelap Geng 35. Polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim turut merampas beberapa barangan antaranya telefon bimbit serta cincin bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam klip video dimuat naik pemilik akaun yang menggunakan nama @ravin7429 itu, tiada seorang pun antara individu terlibat dilihat memakai pelitup muka.
Antara yang mencuri perhatian adalah kek berbentuk angka ’35’ yang turut dipotong dan disuap antara mereka yang hadir dalam majlis tersebut.
Kamarul Zaman menambah, kesemua mereka dibawa ke mahkamah bagi permohonan tahanan reman.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 kanun Keseksaan, Seksyen 52 (3) Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan 10 (1) Peraturan-Peratuan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) 2021,” katanya. – UTUSAN ONLINE