Yura Yunita luah rasa tenang - Utusan Malaysia

Yura Yunita luah rasa tenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JANGAN pernah bermain-main dengan isu kesihatan mental kerana kompleksitinya berupaya menjadi pembunuh senyap buat mana-mana individu yang bersembunyi di sebalik frasa ‘saya okey’.

Mengangkat tema pentingnya untuk menitikberatkan kesihatan mental, ia mencetuskan inspirasi buat penyanyi daripada tanah seberang, Yura Yunita untuk menghasilkan single terbaru, Tenang.

Meskipun sebelum ini sering dikenali menerusi seleksi lagu bertema romansa, Yura kali ini mahu menyuntik sedikit kelainan khususnya menerusi penyampaian bermesej buat pendengar dan peminatnya.
“Permasalahan kesihatan mental yang semakin berleluasa sekarang tidak mengira usia dan ia bukan sesuatu yang harus dipandang remeh.

“Luangkan waktu sejenak, kenali diri lebih dalam. Cintai dirimu, terima dan maafkan dirimu untuk mendapat cahaya dan petunjuk menuju tenang.

“Ia adalah mesej yang saya cuba sampaikan menerusi karya kali ini dan diharapkan semua yang mendengar dapat terinspirasi daripadanya,”katanya.

Kongsi Yura lagi, Tenang baginya juga umpama satu doa atau curahan rasa kerana itulah apa yang dirasakannya sewaktu menghasilkan lagu tersebut.

“Tak jarang fikiran kita melayang terutama ketika di malam hari. Resah dan gelisah mengiringi ketidakpastian dan pencarian erti kehidupan. Saya anggap lagu ini seperti satu doa.
“Atau mungkin juga saat berdialog dengan diri sendiri ketika merindui Yang Maha Mencipta,”katanya.

Menurut Yura, ia juga menjadi penyebab mengapa Tenang dipilih untuk dilancarkan pada Ramadan lalu memandangkan ia adalah bulan yang penuh bermakna buat seluruh umat Islam diseluruh dunia.

“Tenang dirasakan dapat menjadi teman yang selaras dengan bulan yang senantiasa mengundang kita untuk berefleksi. Dalam keriuhan hidup sehari-hari, rasa teduh dan tenteram dari lagu ini diharapkan bisa mengisi saat-saat hening di sepanjang bulan suci Ramadan.

“Malah tidak salah juga jika dibawakan ke bulan-bulan seterusnya. Apalagi dalam usaha kita semua untuk mendapatkan jiwa yang tenang dalam keriuhan pandemik dan kepayahan jiwa serta mental yang bergelodak dengan segala permasalahan dunia,”katanya.

FILEM PENDEK
Dalam pada itu, seiring dengan pelancaran lagu Tenang, sebuah filem pendek turut diperkenalkan kepada umum.

Naskah itu telah dibintangi oleh aktor-aktor ternama Ringgo Agus, Nirina Zubir, Kiki Narendra dan aktor cilik Gamaliel Eleazar serta Zozo.

Filem ini mengisahkan seseorang yang mencuba berdamai dengan kenangan dan dirinya sendiri.

Sama seperti mesej yang disampaikan menerusi lagu Tenang dan muzik videonya yang mendapat sentuhan sutradara terkenal Indonesia, Yandy Laurens yang juga penulis skrip filem Keluarga Cemara (2018).

Video muzik ini dapat disaksikan dua minggu setelah lagunya tersedia di berbagai layanan streaming.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN