KUALA LUMPUR : Sebanyak RM1.3 juta telah disumbangkan kepada Yayasan Ragad dalam usaha menyalurkan sumbangan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak dalam pelbagai sektor.
Menurut Pengasasnya, Toh Puan Datuk Patinggi Datuk Seri Utama Raghad Kurdi Taib, antara aspek tumpuan bagi tujuan itu termasuk pembangunan pendidikan bagi golongan luar bandar terutama dalam meningkat taraf infrastruktur dan kemudahan seperti akses internet, air dan elektrik.
“Hasrat utama adalah untuk melihat anak-anak muda negeri Sarawak berjaya dan berdaya saing seiring dengan perubahan zaman yang semakin moden dan canggih.
“Malah,saya percaya pendidikan dan ilmu adalah satu perkara yang penting dalam hidup, maka ia adalah hak setiap anak-anak Sarawak untuk menerima tanpa sebarang kesulitan dari mana mana pihak atau keadaan,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir ke majlis penyerahan sumbangan yang diadakan di Demak Jaya, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, beliau menyerahkan sejumlah wang bernilai RM1 juta manakala Yang Di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memberi sumbangan sebanyak RM300,000 sebagai tanda sokongan terhadap usaha yayasan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Sri Fatimah Abdullah dan Penasihat Undang-undang Negeri Sarawak, Datuk Sri JC Fong serta Datuk Bandar Kucing, Datuk Wee Hong Seng.
Dalam pada itu, menurut Raghad, pihaknya juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi mencapai objektif yayasan yang dinaungi olehnya itu.
Sebelum ini, beliau juga giat turun padang bagi menyampaikan sumbangan-sumbangan peribadi di serata negeri Sarawak dengan antaranya berbentuk bantuan makanan, cecair pembasmi kuman dan pelbagai lagi.