Tiada masalah dengan uncle Amy - Akim Ahmad - Utusan Malaysia

Tiada masalah dengan uncle Amy – Akim Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehadirannya bukan untuk memburukkan keadaan. Tatkala timbul permasalahan antara anggota lama kumpulan legenda, Search, tiada sebab untuk pihaknya campur tangan. Mempunyai fokus berbeza, kongsi Akim Ahmad misi utamanya juga hanya untuk menjayakan Konsert Unplugged Search 40 Years. Muncul atas tiket vokalis, keputusan ini jelas atas permintaan ahli asal kumpulan ini.Tidak terlintas untuk menyebelahi mana-mana pihak, tambahnya sebagai peminat harapannya juga sama agar ada ruang untuk Search kembali bersatu.

Kehadiran Akim dalam Search menimbulkan pelbagai persepsi. Ada yang bersetuju ada yang tidak. Komen Akim?
Saya sebenarnya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota kumpulan Search. Pemilihan saya juga sangat mengejutkan, tetapi apa pun saya anggap ini adalah peluang yang baik diberikan abang Din dan Kid sendiri kepada saya. Berada dalam kumpulan legenda ini adalah ruang yang tidak akan disia-siakan. Tentunya kelebihan untuk berada dalam kumpulan lagenda akan digunakan saya untuk menimba ilmu bagi kelangsungan karier muzik saya juga.

Bila ada yang membandingkan Akim dengan penyanyi asal Search, reaksi Akim.
Bukan sesuatu yang mengejutkan untuk berhadapan dengan keadaan ini. Pasti akan ada pihak yang membuat perbandingan antara saya dan vokalis asal kumpulan Search. Pada saya sendiri masih terlalu jauh untuk mencapai apa yang pernah dilalui ahli asal kumpulan ini. Malah tiada apa yang lebih istimewa sebenarnya untuk melihat ahli asal kumpulan Search sendiri membuat persembahan. Namun kehadiran saya bersama Search adalah untuk meneruskan perjuangan kumpulan rock lagenda ini.

Hubungan dengan Amy sendiri?
Sehingga ke hari ini saya tidak ada masalah dengan uncle Amy . Alhamdulillah, sebagai seorang penyanyi muda, saya sangat mengagumi uncle Amy. Apa yang berlaku dalam kumpulan ini bukan bahagian saya untuk campur. Saya hanya diberikan tanggungjawab untuk berada dalam Search bagi menjayakan beberapa siri persembahan. Tentunya yang paling ditunggu Konsert Unplugged Search 40 Years September depan.

Bakal mengadakan konsert tersebut September depan, persediaan Akim?
Selain berdebar apa yang saya harapkan agar persembahan itu kelak mencapai kepuasan penonton. Tempoh 40 tahun adalah tempoh waktu yang sangat panjang buat Search jadi saya melihat konsert ini sangat penting bukan sahaja kepada Search tetapi peminat kumpulan ini juga. Bagi saya sendiri, persediaan utama tentunya daripada mental dan fizikal. Walaupun tempoh masanya berbaki hampir empat bulan lagi tetapi persediaan sudah bermula sejak sekarang terutamanya stamina untuk mengadakan persembahan kelak.

Apa yang berbeza mengenai Search bersama Akim berbanding Search dahulu?
Bukan soalan yang boleh dijawab pihak saya, sebab perjalanan kumpulan ini sangat panjang dan dalam tempoh itu anggota Search sendiri pastinya sudah melalui pelbagai kisah suka duka. Kehadiran saya sendiri sebenarnya adalah cetusan idea abang Din . Jadi apa perbezaan Search dahulu dan sekarang saya rasa dia lebih layak untuk menjawabnya. Namun dibesarkan dengan lagu-lagu kumpulan ini, apa yang pasti lagu-lagu Search akan terus menjadi lagu pilihan bukan sahaja saya tetapi peminat mereka.

Sibuk dengan single solo selain tanggungjawab dengan Search, apa kisahnya dengan Akim & The Majistret kini?
Sebelum ini juga saya sudah menjelaskan kedudukan Akim & The Majistret . Tidak dinafikan buat masa sekarang saya sedang memberikan tumpuan kepada single Bayang yang baru dilancarkan. Selain itu saya juga sibuk membuat persiapan untuk konsert. Bagaimanapun perjalanan Akim & The Majistret tidak akan dilupakan, tempoh ini kami masih mengumpul bahan-bahan yang sesuai selain terus mengharapkan kehadiran idea-idea yang lebih segar untuk album kami kelak. Doakan ya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN