PKR dicabar ambil tindakan terhadap Iswardy Morni - Utusan Malaysia

PKR dicabar ambil tindakan terhadap Iswardy Morni

Wan Saiful Wan Jan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PKR dicabar mengambil tindakan terhadap aktivisnya, Iswardy Morni yang jelas menghina Yang di-Pertuan Agong dalam satu rakaman video tular.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Iswardy merupakan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak adalah seorang aktivis yang dikenali umum sebagai penyokong tegar Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Logo dan mesej yang dia bawa adalah mesej dan logo Parti Keadilan Rakyat.

“Tahniah kepada PDRM kerana pantas memburu Iswardy Morni yang dengan jelas menghina Yang di-Pertuan Agong dalam satu rakaman video.

“Saya cabar PKR ambil tindakan tegas dan pecat Iswardy Morni atas sebab mulut celupar yang terang terangan menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Jika PKR tidak berbuat apa-apa, ini bermaksud PKR merestui ahli mereka yang menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Jika PKR diam, itu maksudnya PKR reda institusi Raja-Raja Melayu dipermainkan.

“Jika PKR tidak memecat Iswardy Morni, itu tandanya PKR melalui ahli-ahli seperti Iswardy sengaja membiarkan sentimen negatif tersebar terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Adakah PKR mahu jadi rumah untuk mereka yang tiada rasa hormat terhadap Yang di-Pertuan Agong,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan.

Iswardy  yang merupakan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya menerusi video secara langsung dalam laman rasmi YouTube didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar memberitahu Utusan Malaysia, individu berusia 40-an itu ditahan di kediamannya di Kajang.

“Suspek ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman kira-kira pukul 11 malam tadi.

“Kita akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek esok bagi siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Terdahulu Dev Kumar memberitahu, pihaknya sedang mengesan Iswardy susulan laporan polis dibuat terhadap video dimuat naik individu berkenaan di YouTube miliknya semalam.

Jelasnya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, Iswardy memuat naik video secara ‘live’ berhubung Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini di YouTube rasmi miliknya.

Dalam video itu, Iswardy turut mengeluarkan kenyataan mendakwa Seri Paduka seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19 selain mempersoalkan sama ada Yang di-Pertuan Agong ada menerima video dibuat individu lain mendakwa Iswardy ada menghina Seri Paduka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN