PKPD: 15 laluan tikus mukim Sitiawan dihalang kawat besi, penghadang konkrit - Utusan Malaysia

PKPD: 15 laluan tikus mukim Sitiawan dihalang kawat besi, penghadang konkrit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis akan memasang kawat duri dan penghadang konkrit di 15 laluan tikus utama ke mukim Sitiawan berkuat kuasa tengah malam ini, kata Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi.

Beliau berkata, ia selaras dengan keputusan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di mukim tersebut bermula 29 Mei hingga 11 Jun ini.

“Kita juga mengenal pasti ada beberapa laluan tikus lain yang juga akan ditutup nanti bagi menghalang pergerakan keluar masuk ke mukim ini,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi pemotongan bekalan elektrik di premis judi haram di Sitiawan hari ini.

Selain itu, katanya, pemasangan kawat duri dan penghadang konkrit juga akan dilakukan di lokasi dikenal pasti ‘kawasan panas’ iaitu yang mempunyai kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Menurut Nor Omar, penguatkuasaan PKPD itu melibatkan kawasan seluas 138 kilometer persegi iaitu kira-kira 27 peratus daripada keluasan daerah Manjung dan membabitkan lebih kurang 149,000 penduduk.

Jelasnya, sebanyak enam sekatan jalan raya (SJR) 24 jam di laluan utama mukim itu melibatkan penugasan 120 anggota polis yang bertugas secara giliran tiga syif.

Menurutnya, pihaknya juga ada mengemukakan permohonan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu penugasan di SJR sekurang-kurangnya 72 anggota pasukan tersebut bertugas di lokasi ditetapkan.

“Oleh itu, saya menasihatkan penduduk mukim Sitiawan untuk sentiasa berada dalam rumah sepanjang PKPD ini kecuali jika ada perkara kecemasan melibatkan perubatan, pembelian makanan harian dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN