Permulaan pembebasan seluruh bumi Palestin - Utusan Malaysia

Permulaan pembebasan seluruh bumi Palestin

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Persetujuan rejim Israel melaksanakan gencatan senjata di Semenanjung Gaza hari ini bakal menjadi permulaan ke arah pembebasan seluruh bumi Palestin.

Pengerusi Sekretariat #Aid4Palestine, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, khabar gembira itu turut memberi isyarat kepada penyatuan ummah sekali gus menuntut sikap lebih tegas dalam kalangan negara Islam untuk membantu rakyat Palestin yang tertindas sekian lama.

“Kita belum jelas lagi apakah syarat dan terma gencatan senjata itu, namun jelas menunjukkan kemenangan saudara kita di Palestin dan kekalahan rejim Zionis.

“Walaupun serangan Israel bertali arus tetapi tidak boleh menundukkan saudara kita di Gaza dan kita perlu memahami perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin mengambil masa lama di samping memerlukan strategi serta perancangan,” katanya dalam video ringkas di laman Facebook miliknya hari ini.

Selepas 11 hari membedil Semenanjung Gaza tanpa henti sehingga memusnahkan bandar itu, Israel akhirnya bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula awal pagi ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menggelarkan langkah itu sebagai sepakat dan tanpa syarat.

Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, umat Islam di Malaysia sentiasa bersama Palestin dalam perjuangan itu.

“Walaupun jarak kita jauh tetapi hati kita sentiasa bersama dengan rakyat Palestin dan meraikan kemenangan ini dengan memuji Allah, mudah-mudahan diterima para syuhada yang gugur sama ada di Gaza, Baitul Maqdis dan Tebing Barat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN