PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memberi jaminan bahawa kakitangan penjawat awam tetap menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab meskipun 80 peratus bekerja dari rumah mulai esok.
Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, pelaksanaan bekerja dari rumah itu melibatkan kira-kira 750,000 penjawat awam di seluruh negara.
Oleh itu, beliau berharap penjawat awam akan terus mengekalkan produktiviti kerja pada tahap yang terbaik terutama dalam perkara yang melibatkan perkhidmatan langsung kepada rakyat dan negara.
“Sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan terus berjalan seperti biasa bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat diberikan mengikut ketetapan yang telah ditetapkan setiap agensi kerajaan.
“Justeru, rakyat tidak perlu bimbang urusan mereka akan tergendala berikutan arahan terbaharu oleh kerajaan ketika ini kerana setiap jabatan kerajaan tidak pernah berhenti berfungsi atau lumpuh dalam menjalankan perkhidmatan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Adnan berharap masyarakat tidak meletakkan persepsi buruk kepada penjawat awam kerana pelaksanaan bekerja dari rumah adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 iaitu Dasar Bekerja Dari Rumah.
“Setelah lebih setahun negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Cuepacs yakin penjawat awam tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing melalui amalan bekerja dari rumah yang telah ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Ia telah pun menjadi amalan ketika PKP sebelum ini. Cuepacs yakin perkara ini boleh diadaptasi oleh penjawat dengan sebaik mungkin,” katanya.
Pada masa sama, Adnan menganggap penjawat awam wajib menunjukkan contoh yang terbaik dalam mematuhi dasar-dasar yang diarahkan oleh kerajaan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Cuepacs berharap penjawat awam mematuhi arahan PKP dan peraturan semasa berkaitan bekerja dari rumah. Sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan kepada bekerja dari rumah akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan semasa perkhidmatan awam.
“Penjawat awam tidak boleh berkompromi mengenai produktiviti masing-masing semasa bekerja dari rumah kerana kita adalah tulang belakang kepada pentadbiran negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE










