PETALING JAYA: Hasil ujian air kencing pemandu tren pandu uji dalam insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya berdekatan Stesen LRT KLCC, di sini malam tadi disahkan negatif dadah.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Dang Wang,i Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, setakat ini pihaknya sudah melakukan saringan air kencing pemandu tren itu.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan keterangan pemandu tren LRT berkenaan juga akan diambil dalam masa terdekat bagi membantu pasukan panel penyiasat khas yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan.
“Setakat ini kami akan membantu pasukan itu untuk menjalankan siasatan selanjutnya.
“Kami akan melihat keperluan untuk memanggil pemandu berusia 32 tahun yang turut luka ringan dalam kemalangan itu bagi membantu siasatan. Setakat ini kita buat saringan air kencing sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Zainal berkata, setakat ini lebih 60 mangsa masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), antaranya enam warga asing termasuk dari Filipina, Pakistan dan Bangladesh.
Semalam, sebanyak 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 cedera ringan dalam insiden pada 8.45 malam melibatkan sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.
Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca insiden dan menjangkakan laporan hasil siasatan akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu.
Terdahulu, beliaul berkata, tinjauan hari pertama penguatkuasaan PKP 3.0 yang diperketatkan di sebuah pusat beli-belah terkenal di ibu negara hari ini memfokuskan pengunjung atau pelanggan yang kini dibenarkan berada di dalam premis peruncitan maksimum dua jam.
Beliau berkata, rata-rata pengunjung sedar akan pelaksanaan SOP itu dan pihaknya juga mendapati semua pasar raya di sekitar ibu negara menunjukkan pengurangan kehadiran pengunjung sekitar 30 hingga 40 peratus sejak PKP 3.0 dikuatkuasakan pada 12 Mei lalu. – UTUSAN ONLINE