Patuh atau henti operasi - Ayob Khan - Utusan Malaysia

Patuh atau henti operasi – Ayob Khan

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majikan dan pemilik premis yang dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diingatkan supaya menyediakan persekitaran kerja yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam norma baharu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka juga diingatkan sentiasa memastikan pekerja masing-masing turut mematuhi SOP sepanjang masa ketika berada di premis kerja.

Katanya, hal itu kerana berdasarkan pemantauan dilakukan pihaknya di beberapa premis kerja, masih terdapat kesalahan yang dikesan.

“Ketika menyertai Operasi Covid-19 yang dijalankan di dua buah premis sebentar tadi, saya dapati masih ada pekerja yang tidak patuh SOP.

“Kesalahan utama yang dikesan adalah pekerja tidak melakukan pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera ketika masuk ke tempat kerja.

“Selain itu, terdapat juga pihak majikan yang berdegil dan enggan mematuhi SOP ditetapkan seperti bilangan pekerja yang dibenarkan bekerja pada satu-satu masa dan tempoh masa bekerja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Tambah Ayob Khan, sehubungan itu pihaknya memberi amaran tegas kepada majikan mahupun pemilik premis agar mematuhi peraturan ditetapkan atau tindakan henti operasi boleh diambil.

Dalam operasi berkenaan, tujuh kompaun dikeluarkan terhadap pekerja ketika pemeriksaan dibuat terhadap dua premis kilang yang berada di kawasan Pasir Gudang, dekat ini.

Sementara itu, Ayob Khan turut memaklumkan kadar pematuhan SOP PKP dalam kalangan penduduk negeri ini berada pada tahap 98 peratus, namun ia masih boleh dipertingkatkan.

“Mulai hari ini, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati melanggar SOP ditetapkan kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19,” ujarnya.

Sejak 13 Januari tahun ini sehingga 24 Mei lalu, sejumlah 4,085 kompaun telah dikeluarkan Polis Johor dengan kawasan pentadbiran Johor Bahru Selatan, Kulai dan Segamat merupakan kawasan tertinggi pengeluaran kompaun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN