KUANTAN: Kerajaan Pahang bertindak lebih agresif dengan menambah dua lagi lokasi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di sini bermula esok.
Pembukaan pusat itu sebagai persediaan kerajaan negeri berdepan dengan peningkatan jumlah kes positif wabak Covid-19 sejak awal bulan ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, pengoperasian pusat kuarantin bagi pesakit berisiko rendah itu diharapkan dapat memastikan sistem kesihatan di Pahang tidak lumpuh jika pertambahan kes positif Covid-19 terus direkodkan di negeri ini.
“PKRC di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dijangka boleh beroperasi sepenuhnya esok dan satu lagi PKRC di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang sedang dalam proses disiapkan, kita jangka ia boleh mula digunakan dalam dua atau tiga hari lagi.
“PKRC di KUIPSAS mampu memuatkan 200 pesakit berisiko rendah manakala jumlah pesakit yang boleh ditempatkan di PKRC Kompleks Sukan UMP pula akan dimaklumkan selepas semua persiapan teknikal membabitkan susun atur katil selesai dilakukan.
“Pembukaan PKRC di KUIPSAS ini menjadikan jumlah PKRC yang sedang beroperasi di Pahang kepada empat PKRC, selepas kita menggunakan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM), Kuantan; Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bentong dan Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Kuantan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Che Adam berkata, pertambahan PKRC yang dibuka di Pahang bukan bermakna situasi penularan wabak berkenaan berada di tahap membimbangkan tetapi lebih kepada persediaan.
“Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri hanya mengambil langkah awal untuk memastikan tidak berlaku situasi kelam-kabut jika saat terakhir baru kita nak buat (persiapan).
“Ingin saya maklumkan kepada semua rakyat Pahang bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri sedang melakukan usaha terbaik bagi membendung (penularan) wabak ini dan kita sangat berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama, terutama mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE