Memperkasa modal insan kewangan Islam - Utusan Malaysia

Memperkasa modal insan kewangan Islam

YUSRY YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Selepas lebih 25 tahun ditubuhkan, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) terus memperkasa peranannya dalam melatih dan melahirkan pengamal industri yang mempunyai kecekapan teknikal yang selari dengan keadaan semasa.

Ini juga bagi memenuhi keperluan pekerjaan dan menyokong pembangunan industri perbankan Islam, seterusnya mengekalkan Malaysia sebagai satu daripada pusat kewangan Islam utama dunia.

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIFNYA, YUSRY YUSOFF berkata, walaupun berdepan kesukaran dalam menyampaikan latihan apabila kali pertama kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19 Mac tahun lalu, namun pihaknya tetap komited dalam usaha mereka dan mewujudkan modul pembelajaran dan peperiksaan secara dalam talian untuk pengamal industri.

“Saya tidak akan lupa tarikh 18 Mac 2020 kerana pertama kali latihan secara bersemuka tidak dapat dijalankan. Namun, kami terus berusaha merangka modul untuk pembelajaran secara dalam talian untuk memenuhi keperluan semasa.

“Kini, sudah lebih 20,000 calon telah pun mengikuti modul dan menjalani peperiksaan secara dalam talian dan kami akan terus memastikan keberkesanan alternatif ini dalam memperkukuh modal insan dalam industri ini,” katanya ketika ditemui di pejabat IBFIM, di Menara Syarikat Takaful Malaysia, baru-baru ini.

Ikuti temu bual selanjutnya bersama wartawan, NURFARAHIN HUSSIN dan jurugambar, AFIQ RAZALI.

——————

UTUSAN: Boleh terangkan apakah peranan IBFIM dalam memantapkan pembangunan modal insan industri kewangan Islam negara?

YUSRY YUSOFF: Pada mulanya, sekitar tahun 80-an, latihan dan pembelajaran kewangan Islam dipelopori oleh Bank Islam, sebagai institusi perbankan Islam pertama di Malaysia. Kemudian, apabila industri ini terus berkembang, timbul keperluan untuk mewujudkan satu pusat latihan bagi melaksanakan mandat melatih pekerja-pekerja sektor kewangan Islam.

Ketika itu, pekerja yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam mempraktikkan kewangan Islam amat diperlukan. Oleh itu, jabatan latihan Bank Islam telah dinaik taraf sebagai satu pusat latihan industri pada 1995. Pada awalnya ia dikenali sebagai Bank Islam Research & Training Institute (BIRT) sebelum dijenamakan kepada IBFIM.

Sejak ditubuhkan, kami telah membangunkan bukan sahaja modal insan untuk industri perbankan Islam, malah kami juga telah melatih modal insan sektor takaful dan juga sektor pasaran modal Islam.

IBFIM juga telah berpeluang melatih bakat-bakat luar negara seperti dari negara Brunei, Indonesia, Filipina, Ethiopia, Seychelles dan Azerbaijan. Ini bukan sahaja membuktikan keupayaan IBFIM untuk melatih bakat di luar negara, apa yang lebih penting, ia menunjukkan penerimaan masyarakat luar negara tentang keupayaan pakar-pakar kewangan Islam dari Malaysia.

Apakah usaha dalam mentransformasi peranan IBFIM?
Kita perlu mula memasyarakatkan kewangan Islam menerusi pembelajaran. Salah satu caranya, IBFIM mahukan lebih banyak institusi atau syarikat untuk belajar dan menerapkan amalan kewangan Islam di dalam urusan mereka. Contohnya, kami berpandangan koperasi-koperasi yang menawarkan skim kredit patuh syariah perlu mempunyai pekerja yang pengetahuan dan setanding dengan pekerja di institusi perbankan Islam.

Antara usaha bagi memastikan pengetahuan ini dapat dimasyarakatkan, kami tawarkan juga pembelajaran bagi pensijilan asas kami dalam bahasa Melayu dan tidak terhad dalam bahasa Inggeris sahaja. Bagi modul ejen takaful, kami juga telah menjalankannya dalam bahasa Mandarin. Pandangan kami, penyampaian ilmu kewangan Islam tidak seharusnya dibataskan oleh bahasa.

Kita juga mahu jadikan IBFIM ini sebagai satu institusi pembelajaran sepanjang hayat. Kami mahu mereka bermula dari peringkat eksekutif misalnya, sehingga mampu menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, dengan latihan yang ditawarkan IBFIM.

Kebanyakan industri kini menitikberatkan penjagaan alam sekitar. Bagaimana IBFIM turut serta memainkan peranan tersebut untuk kepentingan generasi akan datang?
Kewangan Islam perlu memainkan peranan utama dalam isu persekitaran dan IBFIM mula terpanggil untuk mengambil bahagian dalam mempertahankan alam sekitar ini sejak 2019. Mungkin tidak ramai terfikir yang kami boleh memainkan peranan secara langsung seperti menerapkan modul pembelajaran mengenai isu ini. Namun, inilah usaha kami untuk menyokong dalam meningkatkan keupayaan institusi kewangan Islam untuk menjadi antara teraju utama dalam isu kelestarian alam sekitar seperti pembiayaan projek-projek rendah karbon dan menerapkan penjagaan alam sekitar.

Ini perlu dilaksanakan untuk masa depan kita dan generasi akan datang, kerana penjagaan alam sekitar selari dengan prinsip maqasid syariah. Kalau kita tidak memainkan peranan utama dalam hal ini, bermakna kita tidak memenuhi sepenuhnya tanggungjawab sebagai industri kewangan yang berteraskan syariah.

Boleh ceritakan bagaimana IBFIM berusaha untuk kekal relevan ketika berdepan masalah penularan Covid-19?
Elemen penting dalam melahirkan lebih ramai pakar kewangan Islam adalah sokongan dan keyakinan daripada pengamal industri. Tanpa sokongan ini, adalah agak sukar bagi sebuah institusi yang tidak berasaskan keuntungan seperti IBFIM untuk bersaing dengan institusi-institusi lain dalam menjalankan mandatnya.

Peranan yang dimainkan oleh pemegang kepentingan kami iaitu Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan juga Persatuan Takaful Malaysia (MTA), terutamanya dalam memberi nasihat dan maklum balas, sangat banyak membantu dalam pelaksanaan segala perancangan dan aktiviti-aktiviti pembelajaran IBFIM.

Sebagai contoh, kemunculan wabak Covid-19 dan PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020, telah menyebabkan model perniagaan IBFIM pada ketika itu ‘lupus’. Ini kerana kami tidak dapat melaksanakan latihan dalam kelas dan pusat peperiksaan kami terpaksa ditutup. Namun, oleh kerana pada ketika itu industri takaful masih memerlukan ejen-ejen, dengan bantuan dan kerjasama MTA, kita berjaya mewujudkan peperiksaan asas Takaful secara dalam talian pada 27 April 2020. Pada sesi pertama, hanya tiga orang sahaja calon yang menduduki peperiksaan secara dalam talian itu. Kini sudah hampir 30,000 calon ejen takaful telah memanfaatkan inisiatif MTA dan IBFIM tersebut, yang kami namakan sebagai Takaful Remote Exam (TREX).

Apakah harapan tuan dalam memastikan kelestarian IBFIM?
IBFIM bukan institusi yang berlandaskan keuntungan tetapi kami berusaha memastikan IBFIM ada kelestarian dan bukan hanya mengharapkan geran (bantuan) daripada kerajaan atau pihak berkepentingan. Harapan kami, menjelang 2025, IBFIM akan ‘self-funded’ dan dalam masa sama terus berdaya saing, setanding dengan institusi antarabangsa lain. Ini penting supaya dana yang kita dapat boleh diguna dan disalurkan untuk meningkatkan keupayaan bakat-bakat industri kewangan Islam di Malaysia.

Sudah tentu, kami mahu menjadi satu institusi yang berdaya saing di peringkat global. Kami mahu menjadi institusi yang boleh dibanggakan dengan kelestarian berterusan dan pengurusan yang tersusun. Selain itu, kami mahu menjadi pusat rujukan dalam industri kewangan Islam antarabangsa. Walau bagaimanapun, harapan utama adalah apa pun keadaan dan cabaran, proses pembelajaran industri kewangan Islam akan terus berjalan lancar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya