Memalarkan kesegaran Bihzhu - Utusan Malaysia

Memalarkan kesegaran Bihzhu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA dua perkara yang membuktikan keberanian Bihzhu apabila melancarkan lagu Chendering.

Satu, ia percubaan pertamanya mengeluarkan single dalam bahasa Melayu. Berbelas tahun dalam industri, Bihzhu memilih sebuah lagu klasik berusia 60 tahun sebagai single bahasa Melayu pertamanya.

Dua, lagu ini sudah dinyanyikan beberapa penyanyi lain sebelum ini dan mereka bukanlah calang-calang penyanyi. Dua versi Chendering yang paling popular dinyanyikan oleh vokalis legenda Indonesia, Bing Slamet dan satu lagi oleh penyanyi world music kebanggaan negara, Zainal Abidin.

Pasti akan ada perbandingan tetapi, sekurang-kurangnya bagi saya, ia bukan masalah kerana Bihzhu cemerlang.

Rendisi Chendering milik Bihzhu adalah yang paling segar dan memberi perasaan yang berbeza berbanding versi Bing Slamet dan Zainal Abidin.

Biar saya ceritakan latar belakangnya terlebih dahulu. Chendering adalah sebuah lagu yang secara permukaannya ringkas, ciptaan Jimmy Boyle. Buat anda yang tidak mengenali nama tersebut, Jimmy Boyle adalah legenda muzik negara dari Pulau Pinang.

Boyle telah menulis hampir 350 lagu sepanjang kariernya, termasuk lagu bertajuk Kemegahan Negaraku yang mengiringi upacara penaikan bendera Malaysia pada 16 September 1963.
Chendering merupakan salah satu lagu ciptaannya yang mengisahkan keindahan pantai Chendering di Terengganu. Secara permukaannya, ringkas.

Namun, mendengar ketiga-tiga versi Chendering, ada aura mistikal dalam liriknya yang tidak dapat dipecahkan. Bagi saya, rendisi Bihzhu paling cemerlang dalam membawa kandungan mistik ini.

Membandingkan ketiga-tiga versi, saya membayangkan berada di jeti sebuah pantai (saya sendiri tidak pasti sama ada pantai Chendering ada jeti) pada waktu senja, melihat matahari perlahan-lahan berubah warna ditelan horizon laut ketika mendengar versi Bing Slamet. Penekanannya lebih kepada menikmati persekitaran indah pantai sambil mengenang kisah cinta lama.

Bagi versi Zainal Abidin, ia agak hedonis kerana pengaruh jazz yang kuat. Ia membawa saya ke sebuah pub dalam resort di tepi pantai, tempat orang melupakan masalah dengan bergembira menikmati minuman dan tarian.

Mendengar rendisi Bihzhu, ia bagai menonton filem Dain Said. Hal-hal mistik, dan mungkin noir, terselit di celah-celah vokal gemersik dan efek pada instrumen yang dimainkan.

Ia buatkan saya terfikir, mungkin kisah cinta yang dikenang di pantai Chendering ini tidak berakhir dengan aman. Janji yang dipatri di pantai itu, dimungkiri dengan kejam sehingga ada yang bertindak melampaui batas dalam kisah itu.

Tapi itu hanyalah tafsiran saya. Mungkin ia tidak begitu, tiada siapa tahu.

Cuma yang ingin saya tekankan, Bihzhu membuka perspektif baharu terhadap lagu ini dengan sangat berjaya. Ia buatkan orang mula menilai semula karya, menjungkirbalikkan pemahaman lama dan mencabarnya dengan pemahaman baharu.

Itu bagi saya sebuah kejayaan besar. Saya tidak jumpa hal sama dalam rendisi baharu Bridge Over Troubled Water oleh Elvis Presley, contohnya. Legenda besar sebegitu pun sukar untuk melakukannya.

Dengan menyuntik perspektif baharu, Bihzhu berjaya melanjutkan usia Chendering mungkin berpuluh tahun lagi ke hadapan. Dia berhasil memalarkan kesegaran lagu klasik ini, menjadikannya relevan untuk didengar ketika ini.

Ini cara yang baik untuk menghargai legenda muzik negara. Berikan nafas baharu kepada karyanya, jadikan orang tertarik untuk mengambil tahu tentangnya.

Jangan kita kongkong minda dengan kepercayaan bahawa lagu-lagu lama tidak boleh diusik. Lagi tidak diusik, lagilah ia berhabuk.

Syabas, Bihzhu!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN