PELABUHAN KLANG: Cubaan sebuah syarikat pembungkusan daging sejuk beku membawa masuk daging lembu dari Australia seberat 25.2 tan metrik dengan tidak mematuhi syarat permit import dikesan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor di Pelabuhan Klang Barat, kelmarin.
Dalam pemeriksaan dilakukan pegawai penguasa kira-kira pukul 4.20 petang itu, sebuah kontena yang membawa dagangan daging lembu sejuk beku bernilai RM309,541.03 ditahan untuk tindakan lanjut.
Pengarah Maqis negeri, Zamri Hashim berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati kontena yang membawa daging lembu sejuk itu tiba di pelabuhan pada 4 Mei lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati pengimport yang membawa keseluruhan produk gagal mempamerkan logo halal di dalam kotak dagangan yang dikehendaki seperti yang dinyatakan dalam syarat permit import diluluskan.
“Siasatan juga mendapati syarikat pembungkusan yang beroperasi di Selayang memasarkan produk daging sejuk beku di pasar raya sekitar Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zamri mengingatkan supaya syarikat mematuhi syarat ditetapkan pada permit import Maqis dan kegagalan mengikutinya adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2), akta yang sama.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kita sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE