PETALING JAYA: Kerja-kerja pembaikan dan pembersihan di lokasi kemalangan nahas dua tren transit aliran ringan (LRT), Isnin lepas selesai sepenuhnya setakat pukul 5.45 petang tadi.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Menurutnya, sesi pengujian awal sedang dijalankan bagi memastikan sistem dan peralatan dalam keadaan baik.
“Pengujian akhir akan dijalankan pada waktu kejuruteraan iaitu setelah tamat waktu perkhidmatan LRT hari ini, pada lewat malam.
“Pengujian ini akan disaksikan oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan kelulusan penggunaan landasan akan diberikan setelah disahkan selamat.
“Semoga perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dapat mula beroperasi dengan frekuensi normal pada pagi esok,” katanya. – UTUSAN ONLINE










