PETALING JAYA: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina disifatkan sebagai orang yang paling layak menggantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kerana ketegasan memastikan Parlimen bersidang.
Azhar Azizan sebaliknya diselar kerana beliau sepatutnya menjadi pembela demokrasi negara dilihat gagal mempertahankan hak, kuasa, kedudukan dan keistimewaan Parlimen yang didakwa terus dihakis pihak Eksekutif.
Veteran DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan meluahkan kekecewaan terhadap peranan Parlimen yang dilumpuhkan oleh kerajaan, menyatakan sokongan Azalina yang mencadangkan beberapa kaedah supaya Dewan Rakyat kembali bersidang.
“Saya juga menyokong penuh ketujuh-tujuh cadangan beliau untuk prosedur operasi standard (SOP) Parlimen untuk memerangi wabak Covid-19.
“Saya kagum dengan seruan Azalina ini yang sememangnya melayakkan beliau untuk menjadi Yang Di Pertua Dewan Rakyat,” katanya semalam.

Sebelum itu, Azalina dalam satu kenyataan mengemukakan cadangan supaya Parlimen kembali bersidang termasuk secara maya seperti menggunakan aplikasi ZOOM.
Malah, beliau juga memaklumkan sudah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah yang tidak membantah sekiranya kerajaan mahu memanggil semula sidang Parlimen.
Justeru, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri menegaskan kerajaan tiada lagi alasan untuk membuka semula Parlimen dan memanggil semua wakil rakyat untuk kembali bersidang.
“Jadi, apakah lagi sebab berasaskan sains untuk Perdana Menteri terus menolak usaha untuk membuka semula sidang Parlimen?
“Saya menyokong penuh seruan Azalina, supaya Parlimen dipanggil bersidang semula,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
HABIS










