KOTA BHARU: Kaunter pemotongan gelang merah jambu bagi perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) daerah ini ditukar ke cawangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa bermula hari ini.
Cawangan PKD Kota Bharu itu terletak bersebelahan dengan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, sebelum ini kaunter pemotongan gelang bagi individu HSO dijalankan di PKD Kota Bharu yang terletak di pusat bandar ini.
Katanya, pertukaran lokasi itu bagi mengurangkan kesesakan di kawasan tersebut kerana terlalu hampir dengan Madinah Ramadan serta pekarangan Stadium Muhammad IV.
“Sehubungan itu, individu yang menjalani HSO tidak perlu ke PKD yang terletak di pusat bandar untuk memotong gelang pink yang dipakai mereka bermula hari ini.
“Waktu operasi kaunter mengikut masa masa iaitu pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari sebelum disambung semula 2.15 petang hingga 4.30 petang pada Ahad hingga Rabu.
“Bagi hari Khamis, operasi bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari sebelum disambung semula pada pukul 2.15 petang hingga 3.30 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Zaini, bagi hari Jumaat, Sabtu dan hari-hari pelepasan am, kaunter pemotongan gelang pink dibuka pada pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari sahaja.
Menurutnya, operasi kaunter pemotongan gelang di Putik itu akan berterusan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. – UTUSAN