JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mengambil beberapa pendekatan termasuk sedang berusaha mendapatkan bekalan vaksin sendiri seperti membeli dari Singapura dalam memastikan proses vaksinasi dilaksanakan dengan cepat, selamat dan efektif.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri juga akan bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan,Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan semua pihak berkaitan untuk proses mendapatkan vaksin Covid-19.
Katanya, Johor juga lebih awal berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin di bawah inisiatif ImmuPlan Johor bagi mendapat bekalan vaksin tambahan sebanyak 100,000 dos yang dikhususkan kepada ‘Economic Frontliners’ di negeri ini.
“Sehingga semalam, sebanyak 85,849 permohonan telah diterima. Daripada jumlah itu, 72,180 permohonan memenuhi kriteria untuk dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan ekonomi negeri Johor.
“Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM50,000 kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada kerajaan atau pembangkang bagi membantu kerajaan menyebarkan maklumat mengenai kaedah menangani Covid-19.
“Saya berharap penglibatan daripada semua Ahli Parlimen dan ADUN Johor dalam program advokasi dan membantu menguar-uarkan informasi yang tepat dan sahih berkaitan usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Hasni mempengerusikan mesyuarat yang dibuat melibatkan wakil rakyat negeri Johor seperti dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini sebagai usaha mengatasi pandemik Covid-19 di negeri itu.
Hasni berkata, kerajaan negeri pada masa sama sedang merancang untuk pemberian pakej rangsangan ekonomi 3.0 sebagai inisiatif kepada golongan yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19.
“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan aspek kebajikan dan kepentingan rakyat khususnya dalam tempoh pandemik Covid-19. Antara usaha yang dilakukan ialah dengan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi pemberian Bakul Makanan,” katanya.
Jelasnya, dalam perbincangan tersebut, semua wakil rakyat menyuarakan pandangan mereka dan memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri dalam memimpin pelbagai usaha di peringkat negeri untuk menangani pandemik Covid-19.
Ujarnya, perbincangan dan komitmen yang ditampilkan oleh semua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) turut membuktikan penzahiran politik ‘Cara Johor’ yang amat mementingkan muafakat bagi memastikan konsensus rentas parti politik dapat diarusperdanakan dalam mendepani pandemik ini.
“Perbincangan yang melibatkan semua wakil rakyat di negeri ini bertujuan untuk mencapai satu bentuk konsensus dan persepakatan bagi kebaikan rakyat Johor.
“Pandangan yang dikemukakan oleh semua Ahli Parlimen dan ADUN yang hadir diambil maklum serta diteliti untuk dilaksanakan,” katanya yang memaklumkan perbincangan seperti itu akan diteruskan selepas ini. – UTUSAN ONLINE










