Rasanya banyak kali juga kita berdepan dengan situasi penggiat seni yang bercakap atau memuat naik status tanpa berfikir panjang. Ala, tak kisah senior atau junior. Semua ada wakil masing-masing.
Kita berada dalam era norma baharu, jadi sebelum muat naik apa-apa status atau berkongsi gambar, cuba ambil masa dan fikir. Betul ke apa yang aku tulis? Boleh ke muat naik gambar ini?
Bukan mahu mengajar, cuma kita dah lihat berapa ramai selebriti yang dikecam dan menjadi sasaran Jabatan Netizen gara-gara tersalah cakap. Cuba belajar daripada kesilapan ‘mangsa-mangsa’ kecaman itu.
Poklip juga bukan nak menghalang mana-mana selebriti untuk meluahkan rasa dan perasaan di media sosial. Jika mahu, silakan. Tiada siapa yang akan cakap jangan. Cuma biarlah nampak kebijakannya.
Ramai sahaja artis yang bijak dalam berdebat dan meluahkan pendapat masing-masing di media sosial. Kita ambil contoh Bront Palarae, Beto Kusyairi dan ramai lagi. Tak ada pun yang halang?
Cuma kalau status yang mengundang marah dan sensitiviti masyarakat itu, harapnya disimpan sendiri sahaja. Takut lain niat di hati, lain pula penerimaan orang. Sampai kena nyahaktif media sosial pula.
Memang di era media sosial ini, kita bebas untuk bersuara. Silakan tetapi jadilah suara yang membina dan menyatukan masyarakat. Kecuali kalau memang anda dahagakan kontroversi, itu cerita lain.










