Harga komoditi mencecah paras tertinggi sejak 2011 - Utusan Malaysia

Harga komoditi mencecah paras tertinggi sejak 2011

GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Harga komoditi meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh hampir sedekad apabila ekonomi terbesar dunia mula memulih dan melonjakkan permintaan untuk besi, makanan dan tenaga.

Malah, cuaca yang buruk dan kesesakan pengangkutan juga mengekang lebihan bekalan, sekali gus meningkatkan harga.

Indeks Semerta Komoditi Bloomberg yang mengesan harga 23 bahan mentah meningkat 0.8 peratus kelmarin ke paras tertingginya sejak 2011.

Ukuran tersebut telah meningkat lebih 70 peratus sejak menjunam ke paras terendah dalam empat tahun pada Mac tahun lalu.

Dengan segelintir ekonomi utama bangkit daripada pandemik, harga besi meningkat disebabkan pemulihan industri pembuatan dan kembalinya kenderaan bermotor di jalan raya telah meningkatkan harga tenaga.

Sementara itu, harga tanaman seperti jagung, gandum dan gula meningkat disebabkan kemarau di Brazil, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah; sementara China mengurangkan bekalan.

Dana lindung nilai mula meningkatkan pertaruhan mereka ke atas komoditi, menandakan jangkaan inflasi baharu.

Kenaikan harga komoditi meningkatkan harga hampir segala benda dari rumah, makanan ke tisu tandas; dan ia menimbulkan kegusaran tentang inflasi di seluruh dunia.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen berkata dalam satu temu bual kelmarin, kadar faedah mungkin meningkat bagi memastikan ekonomi tidak ‘terlebih masak’, walaupun kemudiannya berkata beliau tidak meramalkan kadar tersebut naik dan tidak menjangkakan inflasi yang lebih tinggi.

Pengurus portfolio di Pacific Investment Management Co., Greg Sharenow berkata, keluk niaga hadapan menunjukkan beberapa komoditi menuju ke arah bekalan yang lebih terhad.

“Pastinya ada yang optimis untuk unjuran ekonomi yang lebih baik bagi membawa kepada pecutan permintaan,” katanya dalam satu temu bual.

AS dan China sedang pulih dengan pantas dari pandemik, melonjakkan permintaan untuk lebih kereta, alatan elektronik dan infrastruktur.

Ford Motor Co. menjangkakan impak sebanyak AS$2.5 bilion (RM10.30 bilion) daripada kos komoditi dalam tiga suku terakhir tahun ini, datang daripada besi, aluminium dan besi berharga. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya