Golongan ‘kayangan’ patut jadi teladan, bukan bangga langgar SOP - Utusan Malaysia

Golongan ‘kayangan’ patut jadi teladan, bukan bangga langgar SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Orang kenamaan, selebriti, instafamous serta individu tersohor terutama dari negeri ini diajak membantu kerajaan melawan Covid-19 dengan cara menjadi contoh teladan yang baik kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, teladan baik itu termasuklah patuh pada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Kerja-kerja mengajak ke arah kebaikan ini sudah dinyatakan dalam al-Quran. Marilah menjadi pendokong usaha kerajaan dan menjadi contoh kepada masyarakat bagi memutuskan rantaian pendemik ini.

“Patuhilah SOP dan janganlah kita berbangga jika melanggarnya. Insya-Allah orang ramai akan turut serta menyokong agenda ini,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Sejak kebelakangan ini, tindakan orang kenamaan, selebriti, instafamous serta individu berpengaruh berasal dari negeri ini yang didakwa melanggar SOP semakin kerap didedahkan di media sosial.

Tindakan mereka yang turut digelar ‘golongan kayangan’ itu dikhuatiri menjadi contoh tidak baik kepada rakyat untuk turut melanggar SOP sehingga jangkitan Covid-19 terus melonjak tinggi di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Dr. Izani berkata, jangkitan Covid-19 di Kelantan bakal mencecah 800 kes sehari jika rakyat terus gagal menjiwai pematuhan SOP, selain menolak untuk menerima suntikan vaksin.

Katanya, ‘kegagalan’ itu merangkumi segenap peringkat bermula dari rakyat, peniaga sehingga kariah masjid apabila menunjukkan sikap ambil mudah dalam perkara tersebut.

“Sebagai contoh di Kampung Pauh Lima. Mufti Kelantan beri penerangan kenapa penggunaan masjid dihadkan, namun tidak diendahkan dan akhirnya satu kampung positif Covid-19. Begitu juga di kawasan Kepulauan Tumpat,” katanya.

Beliau mewakili Kerajaan Kelantan turut menzahirkan rasa kecewa terhadap kira-kira 10,000 rakyat negeri ini yang dilaporkan gagal hadir temujanji suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua.

“Antara alasan yang diberikan ialah mahu tukar tarikh, demam, perkahwinan dan sebagainya yang hanya menyebabkan berlakunya pembaziran dos vaksin tersebut.

“Perkara ini amat mendukacitakan terutamanya pihak Jabatan Kesihatan negeri yang berusaha sedaya-upaya menguruskan proses vaksinasi sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN