Dua lagi ahli Srikandi Muda Johor letak jawatan peringkat negeri

Dua lagi ahli Srikandi Muda Johor letak jawatan peringkat negeri

NOR Jazreeniza Mad Jaafar menganggap perubahan drastik dalam struktur organisasi Biro Srikandi Muda Johor turut menjadi penghalang buat dirinya untuk memberikan komitmen memegang jawatan Ketua Penerangan Srikandi Muda Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Selepas Pengerusi Srikandi Muda Johor, Nur Najihah Abdul Halim meletak jawatannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dua lagi pimpinan sayap tersebut mengikut jejak sama berkuat kuasa semalam.

Mereka ialah Ketua Penerangan Srikandi Muda Johor, Nor Jazreeniza Mad Jaafar dan Bendahari Biro Srikandi Muda Johor, Nur Sofea Ariessa Azizul yang membuat keputusan itu ekoran berlaku perubahan drastik dalam struktur organisasi Biro Srikandi Muda Johor.

Meskipun tidak dinyatakan sebab utama penarikan diri mereka daripada sayap parti itu, kedua-duanya dipercayai tidak berpuas hati dengan rombakan jawatan dalam Srikandi Muda negeri termasuk melibatkan Nur Najihah, sebelum ini.

Nor Jazreeniza berkata, dia juga kini berada di luar negara dan perkara itu turut menjadi penghalang buat dirinya untuk memberikan komitmen memegang jawatan berkenaan.

“Saya bagaimanapun amat menghargai peluang dan jawatan yang diberikan di peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini hari ini.

Ahad lalu, Nur Najihah menolak jawatan yang diberikan dalam Biro Kesenian dan Kebudayaan Negeri Johor disebabkan berlaku ketidakpercayaan pihak kepemimpinan tertinggi Srikandi Johor terhadap dirinya.

NUR SOFEA ARIESSA AZIZUL

Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal bagaimanapun menafikan dakwaan berlaku pergolakan dalaman parti susulan peletakan jawatan oleh Nur Najihah.

Beliau berkata, Srikandi Muda hanyalah biro di bawah Srikandi Johor yang merupakan sayap Bersatu selain Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

“Jika perlu distrukturkan semula Srikandi Muda tiada masalah. Srikandi Muda merupakan biro di bawah sayap Srikandi,” ujar Dr. Sahruddin.

Sementara itu, Nur Sofea Ariessa turut memberitahu peletakan jawatannya juga adalah disebabkan berlaku perubahan struktur dalam organisasi Biro Srikandi Muda Johor. 

“Saya amat menghargai peluang yang diberi serta jawatan dalam peringkat negeri. Saya juga ingin memohon maaf jika terdapat kesalahan sepanjang saya menggalas tugas sebagai Bendahari Biro Srikandi Muda Johor,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya