WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengkritik penggunaan senjatanya oleh Israel dalam perang Gaza, selepas tentera Zionis mempergiatkan operasi di sekitar bandar selatan Rafah, di mana lebih sejuta orang yang kehilangan tempat tinggal berlindung.
AS dalam laporan yang dikeluarkan kelmarin berkata, adalah munasabah untuk menilai bahawa Israel mungkin melanggar norma undang-undang kemanusiaan antarabangsa (IHL) dalam penggunaan senjata dari negaranya.
Tetapi laporan Jabatan Negara memaklumkan tidak menemui bukti jelas untuk menyekat penghantaran senjata kepada tentera rejim Zionis itu.
Menurut laporan itu, adalah munasabah untuk menilai bahawa Israel yang menerima kira-kira AS$3 bilion (RM23.6 bilion) setahun, menggunakan senjata itu secara tidak konsisten dengan piawaian hak kemanusiaan, namun AS tidak dapat mencapai penemuan muktamad.
Jabatan Negara menyerahkan laporannya dua hari selepas Presiden, Joe Biden secara terbuka mengancam untuk menyekat penghantaran bom dan peluru artileri jika Israel meneruskan serangan ke atas Rafah yang menempatkan 1.4 juta orang awam itu.
Biden yang berdepan kemarahan daripada partinya beberapa bulan sebelum pilihan raya, mengeluarkan memorandum dikenali sebagai NSM-20 pada Februari lalu bagi meminta negara-negara yang menerima bantuan ketenteraan AS memberi jaminan akan mematuhi undang-undang hak asasi manusia.
Menurut versi awam laporan berkenaan, keadaan konflik di Gaza menyukarkan usaha menilai atau mencapai penemuan konklusif mengenai kes tertentu.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, Gaza berisiko mengalami bencana kemanusiaan epik jika Israel melancarkan operasi darat berskala besar di Rafah.
Awal minggu ini, tentera Israel merampas kawasan timur bandar Rafah termasuk bahagian Palestin di sempadan antara Mesir dan Gaza yang merupakan satu-satunya laluan penghantaran bantuan barangan keperluan dan bahan api.
Wartawan menyaksikan sendiri serangan di beberapa bahagian Gaza, selepas melaporkan serangan artileri ke atas Rafah sehari sebelumnya.
Lebih 100,000 orang yang berpindah dari kawasan lain di Gaza, melarikan diri dari Rafah minggu ini.
Ramai memilih kembali ke bandar Khan Younis, di mana pertempuran sengit berlaku awal tahun ini, atau bersesak-sesak ke tempat perlindungan di sepanjang pantai di bandar tengah Deir al-Balah.-AFP










