PETALING JAYA: Kerajaan digesa membenarkan Dewan Rakyat kembali bersidang dan wakil rakyat diseru menuntut perkara itu ditunaikan apabila hampir semua ahli Parlimen sudah menerima vaksin Covid-19.
Selain itu, Perisytiharan Darurat juga dituntut supaya tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos ini malah diminta ditamatkan segera berikutan kes harian Covid-19 dan kematian baharu yang terus meningkat sejak diisytiharkan pada 11 Januari lalu.
Kerajaan didesak berbuat demikian supaya hak untuk semak dan imbang terhadap dasar-dasar dikembalikan susulan penularan pandemik semakin buruk walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketat berkuat kuasa bermula 25 Mei lalu.
Perkara itu dinyatakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan bersama oleh PKR, Amanah dan DAP yang menggesa kerajaan mendengar kemarahan rakyat terhadap isu pengendalian SOP mengelirukan dan kewujudan situasi ‘antara dua darjat’ dalam pelaksanaannya.
“Malangnya lockdown kendiri politik ini tanpa kebertanggungjawaban, ketelusan dan proses semak dan imbang telahpun memburukkan pandemik Covid-19 sepertimana yang dipersetujui juga oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said semalam.
“Sejak darurat berkuat kuasa pada 11 Januari 2021 hingga ke hari ini, walau diberi kuasa penuh untuk melakukan segala ikhtiar dan upaya, namun berdasarkan data dan bukti sedia ada, jelas kuasa darurat ini tidak berjaya mengekang penularan wabak Covid-19 sebaliknya keadaan menjadi jauh lebih serius. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal,” katanya.
Tambah kenyataan itu, peningkatan kes Covid-19 yang mendadak ini amat dibimbangi berikutan jumlah katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital seluruh negara semakin berkurangan untuk memberi rawatan kepada kes-kes kritikal.
Situasi itu dapat dilihat menerusi laporan Kementerian Kesihatan semalam berhubung peningkatan kes baharu pandemik mencecah angka tertinggi, iaitu 7,857 kes dan jumlah jangkitan melebihi 7,000 dicatatkan selama tiga hari berturut-turut.
Dalam pada itu, Majlis Presiden PH dalam kenyataan sama turut mempersoalkan kadar pemberian vaksin belum mencapai kadar dijanjikan selepas dibelenggu pelbagai masalah termasuk isu bekalan, pemberian dos serta pendaftaran yang menyukarkan.
Ini termasuk perbelanjaan sebanyak RM70 juta yang dibelanjakan bagi membina dan menyelenggara laman web untuk pendaftaran pengambilan vaksin AstraZeneca.
“Kadar pemberian vaksin perlu disegerakan terutama apabila keperluan dana RM5 bilion telah tercapai dengan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tanpa kelulusan Parlimen, untuk kos pembelian dan pelaksanaan.
“Kami turut menggesa Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk mempercepat kelulusan vaksin-vaksin Sinopharm, Sputnik V dan Moderna agar sasaran imunisasi kelompok dapat dicapai dengan lebih pantas,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE