Dadah bernilai RM 396,600 dirampas, lima warga Vietnam diberkas - Utusan Malaysia

Dadah bernilai RM 396,600 dirampas, lima warga Vietnam diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu sindiket pengedaran dadah tumpas selepas tiga lelaki dan dua wanita warga Vietnam ditahan di tiga lokasi di sekitar Lembah Klang, Ahad lalu.

Menerusi operasi khas bermula pukul 5 petang di Taman OUG, Jalan Klang Lama dan Subang Jaya, di sini, pelbagai dadah bernilai RM396,600 turut dirampas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, pada mulanya, dua lelaki dan dua wanita diberkas hasil pemeriksaan sebuah rumah serta kereta Perodua Myvi di ibu negara, yang membawa kepada penemuan dadah disyaki serbuk methylenedioxymethamphetamine seberat 1.28 kilogram (kg)

Kata beliau, turut ditemukan ialah 10,000 pil Erimin 5 seberat 2.56 kg dan wang tunai berjumlah RM3,200 selain rantai tangan emas (tiga), cincin dan loket emas masing-masing (dua) gelang kaki emas (satu).

“Polis kemudian menahan seorang lagi suspek yang menyewa bilik di sebuah kondominium di Subang Jaya sebelum merampas pelbagai dadah terdiri ketamin (0.76 kg), serbuk MDMA (2.25 kg), 1,000 pil Erimin 5 (0.26 kg) dan 1,000 pil ekstasi (0.32 kg) selain kereta Honda Accord dan wang tunai RM10,600.

“Lelaki terbabit dipercayai menyewa bilik dengan bayaran RM1,370 sebulan dan keseluruhan dadah dirampas di tiga lokasi itu boleh dibekalkan kepada 16,293 pengguna bahan terlarang itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, dengan penahanan suspek berusia 21 hingga 38 tahun itu, polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi warga tempatan dan asing yang aktif selama tiga bulan di sekitar Lembah Klang.

“Ujian saringan awal air kencing pula mendapati seorang suspek lelaki positif ketamin, manakala dua lelaki mempunyai rekod jenayah.

“Semua suspek direman tujuh hari berakhir Sabtu ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN