Bank Islam teruskan bantuan pembayaran semula bersasar - Utusan Malaysia

Bank Islam teruskan bantuan pembayaran semula bersasar

MOHD. MUAZZAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) meneruskan Bantuan Pembayaran Semula Bersasar Dipertingkatkan (ETRA) dengan tambahan tiga bulan penangguhan ansuran pembiayaan untuk para pelanggan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pelanggan yang sebelum ini memilih untuk mengurangkan bayaran ansuran pembiayaan juga layak menerima lanjutan tempoh bayaran selama enam bulan dengan keperluan dokumentasi yang lebih ringkas.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, langkah ini selari dengan seruan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada institusi perbankan dan kewangan untuk membantu peminjam mengikut keadaan kewangan masing-masing, berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Ujarnya, sejak bermula penularan Covid-19 tahun lalu, pihak bank telah menawarkan beberapa pilihan untuk membantu mengurangkan beban kewangan pelanggan.

“Bank Islam sedar bahawa pandemik ini menyebabkan keadaan tidak menentu dan kami menggalakkan pelanggan untuk sentiasa membuat penilaian terhadap keadaan kewangan mereka.

“Sekiranya pelanggan memerlukan bantuan, hubungi kami dan kami menyediakan penyelesaian kewangan terbaik untuk membantu mereka mendepani masa yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bantuan turut tersedia kepada pelanggan daripada pelbagai kumpulan pendapatan, perniagaan mikro dan pelanggan terjejas ekoran pelaksanaan PKP terbaharu ini.

Susulan kenyataan yang dikeluarkan BNM dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) pada 12 Mei lalu, Bank Islam menyeru para pelanggan yang sebelum ini telah menerima bantuan pembayaran bersasar tetapi masih memerlukan bantuan kewangan untuk menghubungi pihak bank.

ETRA Bank Islam telah diumumkan pada 23 November 2020 untuk membantu pelanggan yang memerlukan penangguhan bayaran selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan sehingga 50 peratus bagi tempoh enam bulan.

Bantuan kewangan ini ditawarkan untuk semua pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak lebih dari 90 hari semasa permohonan dibuat. Sebelum ini, Bank Islam telah mengumumkan permohonan ETRA akan ditutup pada akhir Jun 2021.

Untuk mendapatkan borang permohonan, sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkenaan bantuan pasca moratorium Bank Islam, pelanggan boleh melayari laman web www.bankislam.com/covid-19 atau hubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-26900900. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN