Azman Mokhtar paling sesuai ganti Zeti - Utusan Malaysia

Azman Mokhtar paling sesuai ganti Zeti

TAN SRI AZMAN MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Azman Mokhtar yang merupakan bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) disebut antara individu paling sesuai menggantikan Tan Sri Dr. Zeti Aziz sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Azman mempunyai pengalaman luas semasa menerajui Khazanah selama 14 tahun yang turut menyaksikan institusi itu meluaskan pelaburannya ke luar negara seperti Indonesia, China, India dan Arab Saudi.

Ujarnya, ahli lembaga pengarah Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) itu juga terbukti berpandangan jauh apabila menubuhkan Yayasan Khazanah pada 2005 dan Iskandar Malaysia pada tahun berikutnya sebelum membangunkan Institut Penyelidikan Khazanah pada 2013.

“Beliau berjaya meningkatkan Nilai Aset Direalisasikan institusi itu daripada RM50.9 bilion pada 2004 kepada RM157.2 bilion pada 2017, iaitu peningkatan tiga kali ganda. Nilai Bersih Diselaraskan pula meningkat dari RM33.3 bilion pada 2004 kepada RM115.6 bilion pada 2017.

“Pencapaian besar ini dapat dilihat sebagai satu faktor utama beliau adalah pilihan terbaik menggantikan Zeti dalam menerajui syarikat pengurusan dana terbesar negara itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun tambah beliau, penamatan khidmat Zeti tidak akan menjejaskan keyakinan pelabur dan prestasi PNB kerana institusi itu sentiasa ditadbir secara profesional.

“Setiap keputusan perniagaan atau pelaburan yang dibuat mesti melalui lembaga pengarahnya dan tertakluk kepada pelan strategi PNB.

“Oleh itu, penamatan khidmat pengerusi PNB adalah perkara biasa dalam dunia korporat dan kedudukan itu akan diganti oleh individu lain yang berkaliber juga, Sudah tentu PNB mempunyai strategi dalam pemilihan baharu ini,” ujarnya.

Selain Azman, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria juga antara yang disebut-sebut akan dilantik menggantikan Zeti.

Arifin sebelum ini berkhidmat sebagai ketua hakim negara pada 2011 hingga 2017.
Minggu lalu, PNB memaklumkan pelantikan Pengerusi Kumpulan baharu akan diputuskan oleh Yayasan Pelaburan Bumiputera (YBP) dalam masa terdekat.
Ini berikutan keputusan Zeti yang telah secara rasmi menulis surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi YPB, menyatakan hasrat beliau untuk tidak memperbaharui tempoh jawatannya sebagai Pengerusi Kumpulan selama tiga tahun berakhir 30 April lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya