54 dikompaun di Putrajaya sejak PKP 3.0 - Utusan Malaysia

54 dikompaun di Putrajaya sejak PKP 3.0

MOHD. Fadzil Ali (tengah) bertanya sesuatu kepada pengunjung semasa memantau pematuhan SOP PKP 3.0 diperketatkan di Presint,15, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya mengeluarkan 54 kompaun setakat semalam sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula, 12 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, sebanyak 39 kompaun dikeluarkan terhadap individu bagi kesalahan kategori satu iaitu merentas daerah dan negeri selain melanggar perintah kuarantin.

Beliau berkata, satu kompaun dikenakan bagi kategori dua iaitu menganjurkan aktiviti yang menyebabkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.

“Selain itu, sebanyak 14 individu dikompaun bagi kesalahan kategori tiga iaitu tidak memakai pelitup muka dan gagal daftar masuk menerusi kod QR MySejahtera,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan di di Jalan Diplomatik Presint 15, di sini malam tadi.

Mohd. Fadzil berkata, tinjauan pematuhan dilakukan pihaknya mendapati premis perniagaan dan pusat beli-belah mematuhi arahan penutupan premis pukul 8 malam seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, pihaknya akan memastikan kereta peronda polis akan mengeluarkan peringatan penutupan premis menerusi pembesar suara kira-kira pukul 7.30 petang setiap hari.

“Setakat ini, tiada lagi kompaun dikenakan bagi kesalahan membabitkan ingkar SOP diperketatkan itu,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan, tahap pematuhan masyarakat di Putrajaya memuaskan ekoran tahap kefahaman yang tinggi dan jelas dengan arahan terkini.

Ditanya mengenai peningkatan kes harian positif Covid-19 di Putrajaya akhir-akhir ini, Mohd. Fadzil berkata, Putrajaya terkesan kerana dikelilingi beberapa daerah lain di Selangor serta Kuala Lumpur.

“Selain itu, kebanyakan penjawat awam juga ada yang menetap di luar Putrajaya termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dan mereka berulang-alik kerana urusan kerja dan urusan rasmi di sini sekali gus mendedahkan kepada penularan kes,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN