50 buruh asing di tapak binaan hilang secara tiba-tiba - Utusan Malaysia

50 buruh asing di tapak binaan hilang secara tiba-tiba

SEBAHAGIAN buruh binaan warga asing yang diperiksa dalam operasi pematuhan SOP PKP oleh sepasukan pihak berkuasa di tapak pembinaan di Mukim 6, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Kira-kira 50 buruh binaan warga asing di sebuah tapak pembinaan perumahan di Mukim 6 di sini didapati ‘hilang’ secara tiba-tiba ketika sekumpulan pihak berkuasa mengadakan operasi di lokasi itu kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

Sehubungan itu, tapak binaan tersebut diarah tutup selama tujuh hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung maklumat pekerja.

Pengarah, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Zahidi Hashim berkata, pihaknya mengeluarkan notis untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung bilangan sebenar pekerja di tapak projek berkenaan daripada pihak kontraktor.

“Mengikut wakil kontraktor hari ini sepatutnya seramai 81 buruh binaan bekerja namun mereka yang dapat dikumpul hanya 28 orang.

“Jadi kita mahu mendapatkan maklumat lanjut apa status baki pekerja lain yang tidak ada hari ini,” katanya.

Terdahulu beliau menyertai operasi pematuhan prosedur operasi standard (OSP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di tapak binaan berkenaan dengan kira-kira 60 pegawai dan anggota dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM); Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP); Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Tenaga Kerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun berjumlah RM20,000 kepada pihak kontraktor selepas didapati gagal mematuhi SOP PKP.

Ujarnya, kontraktor berkenaan didapati gagal memastikan pekerja di tapak binaan tersebut mengimbas kod QR MySejahtera dan hanya menulis pada buku catatan.

“Pengimbas berkenaan penting untuk disediakan apatah lagi kebanyakan pekerja mempunyai telefon pintar masing-masing,” katanya.

Sementara itu Noorzainy berkata, pihaknya mengesyaki lebih 50 pekerja yang ‘hilang’ dari tapak binaan tersebut bertindak melarikan diri ke kawasan semak berdekatan selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa ketika operasi itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya